Tuesday, March 9, 2010

Setiap Pergerakan, Kalimah Baik Dikira Sedekah

Keseluruhan ajaran Islam membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Al-Quran dan sunnah banyak menggariskan amalan yang boleh mendorong manusia berbuat baik sesama manusia. Tujuannya melahirkan insan yang sejahtera, keluarga bahagia, masyarakat penyayang, negara aman dan bersatu padu.

Bagi mencapai matlamat itu, Rasulullah SAW menunjukkan teladan terbaik dalam melaksanakan konsep sedekah sebagai pelaksana pelbagai bentuk kebaikan yang dinyatakan itu. Baginda menganjurkan bahawa setiap pergerakan sendi manusia itu dikira sebagai sedekah. Sedekah itu dikira sebagai suatu kebaikan dan setiap satu kebaikan pula akan diberi nilai 10 hingga 70 atau 700.

Konsep setiap amar makruf adalah sedekah dinyatakan Baginda terhadap segala kebaikan dilakukan manusia. Justeru, manusia berpeluang untuk memperoleh kelebihan pahala memandangkan ia terlalu mudah untuk dilaksanakan. Tetapi, perlulah dengan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dengan sempurna di samping ciri-ciri keikhlasan dan keinsafan dalam diri masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang yang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan menaikkan barangannya ke atas binatang tunggangannya adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang merbahaya di jalanan adalah sedekah." (Hadis riwayar Bukhari)

Setiap kebaikan yang dilakukan sama ada dalam bentuk spritual dan fizikal adalah sedekah. Sedekah juga lambang kebenaran iman kerana makna sedekah itu sendiri bermaksud 'benar'. Orang yang bersedekah adalah mereka yang benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.

Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat. Orang yang bersedekah adalah dermawan, manakala yang bakhil adalah seteru Allah.

Keberkatan daripada sedekah terlalu banyak.

01] Keberkatan hidup.

Seseorang yang bersedekah akan mendapat kesucian daripada sejumlah harta yang dimilikinya. Ini termasuk Allah akan mengelakkan hartanya daripada kecurian atau hilang. Perniagaannya sentiasa dalam keuntungan dan dia akan terhindar daripada penyakit bahaya bahkan usianya akan dipanjangkan oleh nikmat sedekah dan rezeki yang diperoleh.

02] Keberkatan ketika pada penghujung kehidupan.

Pada akhir hayat, seseorang yang gemar bersedekah ini akan diambil rohnya dengan segala kesenangan tanpa penyesalan dan kesedihan. Matinya bukanlah sebagai seorang yang tidak mensyukuri nikmat Allah bahkan akan dirahmati-Nya kerana
kebaikannya itu. Seseorang yang tidak suka bersedekah umpama seseorang yang mempunyai benih tanaman tetapi tidak pula ia menanamnya. Orang yang tidak suka bersedekah tidak akan dapat memungut atau menuai hasil sedekahnya itu.

03] Ketika berada di alam barzakh.

Orang yang bersedekah pastinya di dalam kubur akan terhindar daripada fitnah dan sebarang kengerian yang begitu menakutkan. Alam kubur sebenarnya adalah ujian untuk orang yang beribadat dan berbuat kebaikan dalam hidupnya.

04] Ketika di alam akhirat.

Apabila dibangkitkan pada hari kiamat kelak, orang yang suka bersedekah ini akan dipayung dan diteduhkan oleh sedekahnya ketika hayat di dunia. Ini pasti dapat mengelakkannya daripadai ditimpa kepanasan di alam akhirat. Sedekah juga akan meringankan seseorang itu ketika dihisab Allah dan akan memberatkan timbangan kebajikannya.

Sesungguhnya konsep bersedekah adalah motivasi yang cukup kuat kepada seseorang untuk menjadikan diri mereka lebih sempurna dan menjadi Muslim sejati yang mempunyai keperibadian unggul serta menjadi contoh ikutan umat yang lainnya.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
BH 14 JUL 2006 * JUMAAT

Rasulullah Istighfar 100x Sehari Mohon Keampunan

Keampunan Ilahi atau maghfirah adalah nikmat Ilahi yang amat bernilai. Seorang ulama tafsir tersohor, al-Asfahani menegaskan, maghfirah adalah anugerah Ilahi yang tidak ada tolak bandingnya dalam kehidupan manusia. Tanpa keampunan Ilahi nescaya setiap insan pasti akan merasai azab seksa dan kemurkaan Allah SWT. Tambahan pula, setiap manusia tidak kira siapa pun dia, tidak terlepas daripada dosa dan kesalahan.

Allah sentiasa menyeru manusia beriman supaya mencari dan menjejaki keampunan Allah. Dalam al-Quran, Allah memerintahkan umat Islam supaya bersegera dan bersaing untuk merebut keampunan Allah seperti firman Allah:

“Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Perlu insaf perintah untuk mencari keampunan Ilahi tidak hanya terbatas kepada umat Islam, malah Rasulullah SAW sendiri diperintahkan beristighfar dan mencari keampunan Allah walaupun umat Islam umumnya mengetahui bahawa Rasulullah adalah seorang nabi yang maksum yang terpelihara sebarang dosa dan kesalahan.

Ulama tafsir tersohor, Imam al-Razi dalam kitabnya, Tafsir al-Razi, berkata keampunan Ilahi ada beberapa pengertian. Al-Quran menyebut bahawa keampunan itu sentiasa dikatikan dengan syurga, bermakna orang memperoleh keampunan Allah, bererti dia memperoleh syurga.

Berdasarkan perintah Ilahi dan sunnah Rasulullah, setiap Muslim wajib mencari keampunan Ilahi dalam setiap detik kehidupannya. Ada beberapa perkara perlu dilakukan supaya ia tidak menjadi sia-sia yang akhirnya hanya mengundang kemurkaan Allah.

Rasulullah mengajar umatnya perbanyakkan istighfar dalam usaha untuk mengejar keampunan Allah. Rasulullah sendiri beristighfar tidak kurang daripada 70 hingga 100x sehari semalam seperti tercatat dalam hadis sahih.

Begitu juga para sahabat yang banyak beristighfar kepada Allah pada waktu malam di kala orang lain sedang nyenyak tidur lena dibuai mimpi yang indah sebagaimana dirakamkan Allah lewat firman-Nya yang bermaksud:

‘‘Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan di akhir malam mereka beristighfar kepada Allah.’’ (Surah al-Dzariyat, ayat 17-18).

Kalaulah Rasulullah yang maksum beristighfar pada setiap hari dan malam sekurang-kurangnya 70x, maka manusia yang tidak maksum ini dan tidak pula dapat mengelakkan diri daripada buruan dosa, amat wajarlah beristighfar lebih daripada 70x berbanding dengan Rasulullah.

Keampunan Ilahi hanya boleh diraih dengan mendekatkan diri ke hadrat Allah melalui ibadah dan amalan salih. Di dalam al-Quran, keampunan Allah selalu dihubungkaitkan dengan iman, takwa dan amal kebajikan sebagaimana yang dapat difahami dalam firman Allah yang bermaksud:

‘‘Orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang yang beriman serta beramal salih, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.’’ (Surah Fatir, ayat 7).

Ibadah menurut pengertian syarak ialah ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus lagi kudus serta ketaatan yang mutlak serta tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah yang dikenang limpahan kurnia kebaikan-Nya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan-Nya dan kekuasaan-Nya.

Ketundukan dan kepatuhan ini bukan hanya datang daripada manusia, malah semua makhluk Allah. Firman Allah bermaksud:

‘‘Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (yang demikian) juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang. Bertanyalah (wahai Muhammad): Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi? Jawablah: Allah.’’ (Surah al-Ra'd, ayat 15-16).

Hikmah Maghpirah

* Penghapusan segala dosa dan kesalahan.
* Keburukan diganti kebaikan.
* Kesucian dan kesempurnaan rohani.
* Keampunan mengikut Imam al-Razi adalah syurga.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
BH 5 DIS 2006