Thursday, February 25, 2010

Jiwa Beriman Tenang Hadapi Maut

Salah satu perkara yang menjadi rahsia Allah ke atas setiap manusia adalah mengenai bilakah mereka akan menemui ajal masing-masing atau kematian.

Manusia perlu ingat dan bersedia untuk menemui kematian kerana kematian pasti akan terjadi ke atas setiap jiwa. Ia dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati.” (Ali-'Imran, ayat 185).

Melalui ayat di atas, dapat difahami bahawa bukan hanya manusia saja akan menemui kematian, malah kematian itu akan terjadi ke atas setiap jiwa atau makhluk Allah dan hanya Allah sajalah bersifat kekal abadi.

Ia dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Semua yang ada di bumi itu akan binasa, dan akan tetap kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Surah al-Rahman, ayat 26-27).

Oleh kerana kematian itu sesuatu yang pasti seperti dijelaskan dalam ayat di atas, maka sewajarnyalah manusia bersedia menghadapinya kerana keadaan kematian amat memeritkan bagi mereka yang menghadapinya.

Gambaran ini dijelaskan oleh Saidina Umar yang bertanya kepada Kaab al-Ahbar. Saidina Umar bertanya: “Wahai Kaab, bolehkah kamu menggambarkan kematian kepadaku’’.

Kaab menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, perumpamaan kematian itu bagaikan seorang lelaki yang dipukul dengan sebatang pokok bidara (pokok yang penuh dengan duri tajam).”

Setiap duri akan masuk dan menusuk ke dalam urat saraf. Sebaik saja batang pokok itu ditarik dengan kuat, maka setiap duri yang melekat pada urat saraf itu akan tercabut bersama-sama urat itu.

Rasulullah mengingatkan bahawa ketika menghadapi sakratul maut, hendaklah seseorang itu membacakan doa supaya diringankan sakratul maut itu. Doa itu bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku menghadapi sakratul maut, Ya Allah ringankanlah sakratul maut yang aku hadapi ini.’’

Sebelum manusia menemui kematian, ruang kehidupan yang Allah kurniakan untuk beramal, kerana apabila kematian menjemputnya, tiada lagi.Saidina Ali pernah menyebut dunia ini akan ditinggalkan pergi sedangkan akhirat sedia menanti.

Hari ini adalah hari beramal bukan hari dihisab, sedangkan esok (akhirat) adalah hari dihisab bukan beramal.
Apabila kematian menjemput mereka, maka semua amalan mereka akan terputus melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak salih yang mendoakannya.

Ia dijelaskan dalam hadis, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat (berguna) atau anak yang salih yang sentiasa mendoakannya.’’ (Hadis riwayat Muslim).

Melalui hadis itu, tiga perkara ini akan terus membantu manusia yang menemui kematian dari segi ganjarannya walaupun mereka meninggalkan dunia yang fana ini. Oleh itu, setiap muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan tiga perkara yang sangat berguna kepada mereka, selepas hancur berkecai tubuh mereka dimamah kematian.

Ibn Kathir menjelaskan, pada suatu hari Umar Abdul Aziz melintasi sebuah perkuburan bersama kawannya, lalu berkata: “Wahai kematian, apakah yang kamu buat terhadap orang yang kami cintai dahulu? Di manakah kekasih kami itu? Di manakah kawan sepermainan dan teman-teman cerita kami dahulu. Wahai kematian, apakah yang telah kamu buat terhadap mereka?’’

Umar tiba-tiba menangis dan berkata kepada kawannya: “Tahukah kamu, apakah sebenarnya jawapannya? Mereka menjawab: Kami tidak tahu.’’

Umar berkata: “Ketahuilah, kematian itu menjawab: Aku memakan kedua-dua rahang dan kedua-dua biji mata mereka. Aku memisahkan kedua-dua telapak tangan dari pergelangan mereka. Aku memutuskan kedua-dua pergelangan dari siku mereka. Aku meleraikan kedua-dua lengan dari badan mereka.’’

Berdasarkan gambaran kematian di atas, dapat difahami bahawa kematian itu bukan hanya dengan tercabut nyawa seseorang, malah turut menghancurkan tubuh setiap insan. Oleh itu, manusia perlu ingat dan bersedia menghadapi kematian.

Ada tiga cara supaya seseorang itu sentiasa mengingati kematian.

[1] Hendaklah kita sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Apabila sampai di tanah perkuburan itu, kita cuba ingatkan di manakah tinggalnya orang kita sayangi dulu seperti datuk nenek, ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran tetangga. Mereka dulunya adalah orang kita menumpang manja, orang yang bersuka ria dan bersenda gurun dengan kita, Kini mereka tiada dan sudah pastinya akan sampai nanti giliran kita.

[2] Hendaklah kita membaca dan menghayati kitab Allah dan hadis Rasulullah kerana di dalamnya terdapat segala suruhan dan larangan yang perlu dipatuhi untuk menjadi insan bertakwa. Dengan adanya nilai ini, seseorang insan itu sudah pasti membawa bekalan terbaik untuk menemui kematian.

[3] Hendaklah kita sentiasa berkawan dengan orang yang salih, kerana mereka akan menjadikan kita orang yang ingatkan kepada kematian dan kehidupan akhirat.

Cara Mengingati Kematian

* Sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Apabila sampai di tanah perkuburan itu, kita cuba ingatkan di manakah tinggalnya orang kita sayangi dulu seperti datuk nenek, ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran tetangga.
* Membaca dan menghayati kitab Allah dan hadis Rasulullah kerana di dalamnya ada segala suruhan dan larangan yang perlu dipatuhi untuk menjadi insan bertakwa.
* Berkawan dengan orang yang salih, kerana mereka akan menjadikan kita orang yang ingatkan kepada kematian dan kehidupan akhirat.

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepemimpinan UKM.

BH 16 DIS 2006 * SABTU

Ganjaran Pahala Solat Subuh Mengatasi Keindahan Dunia

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.
Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.
Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.
Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh. Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.
Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)


Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”
Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).
Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.
Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)
Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.


BH 25 JUN 2007 * 9 JAMADILAKHIR 1428

Friday, February 19, 2010

Dosa Gugur Apabila Suami, Isteri Bersalam


Rasullullah saw bersabda, yang bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya."

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan.

Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.
Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf,walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua.
Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua. Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri.

Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami.

Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."
Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.



Orang Beriman Sentiasa Berasa Diri Lalai

Bersama Dr Juanda Jaya

Menurut riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Rasulullah SAW memberikan wasiat yang terakhir sebelum Baginda wafat dengan katanya yang bermaksud: “Sembahyang…., sembahyang… dan tunaikan kewajipan terhadap hamba yang kamu milik.”

Mengapa Rasulullah SAW masih mengingatkan sahabatnya mengenai sembahyang? Padahal mustahil di kalangan mereka ada yang melalaikan.

Maksud yang tersirat daripada kata-kata kekasih yang amat mengasihi umatnya itu sebenarnya terlalu mendalam.

Walau apa pun nama dan gelaran kita, kedudukan dan pangkat, tahap ilmu dan amal ibadat kita, hendaklah kita sentiasa perbaharui dan selidiki kesempurnaan sembahyang kita. Tidak semestinya seorang ulama lulus daripada ujian sembahyangnya.

Setiap manusia dicipta dengan potensi ‘kelalaian’ yang tidak pernah akan hilang daripada kehidupannya. Salah satu sifat orang beriman yang bijaksana adalah dia sentiasa berasakan dirinya lalai dan kurang sempurna. Berbahagialah bagi mereka yang masih ‘sedar diri’ di atas segala kelemahannya.

Selepas bertahun-tahun mengerjakan sembahyang, kadang-kadang kita berasa terlalu hebat hingga dapat menghabiskannya tidak sampai lima minit. Kerana terlalu mudah, ringan dan senang, akhirnya sikap mempermudah-mudah dan meremehkan sembahyang menjadi kebiasaan.

Padahal jika anda mendengar cerita Saidatina Aisyah: “Rasulullah SAW bersembang dengan kami, ketika datang waktu sembahyang, seolah-olah Baginda tidak mengenal kami dan kami pun tidak mengenal Baginda.” Anda akan mengerti betapa beratnya perkara sembahyang ini, yang merampas segala perhatian keluarga Rasulullah SAW daripada urusan duniawi.

Begitulah khusyuk yang diajarkan Baginda, langsung tidak mempedulikan dunia ketika waktu sembahyang datang. Mengapa pula kita berat sangat meninggalkan keindahan dunia yang sihir dan memukau?

Pernahkah anda berasa diperhambakan oleh kerjaya, perniagaan, isteri dan anak? Betapa tertekan hidup kita jika masa yang ada tidak cukup untuk menjaga segala yang kita miliki.

Berkejar ke sana ke mari kerana tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Hingga perasaan tertekan itu sampai ke kemuncaknya apabila urusan akhirat dilupakan, ketika Allah tiada lagi dirasai kehadirannya pada setiap pergerakan. Saat itu kita sebenarnya terlempar jauh dari orbit iman, melayang-layang di semesta kesibukan dunia yang mematikan hati dan perasaan sebagai hamba Allah.

Bersikap seimbang dan adil dalam setiap tindakan. Dunia dan akhirat kedua-duanya sama penting. Akhirat tidak akan dapat diraih jika dunia tidak digenggam. Telitilah setiap saat yang berlalu dalam sembahyang seperti kita meneliti buku kira-kira harta dan saham yang ada.

Apabila dalam dua jam berniaga mendapat keuntungan berlipat ganda, adakah anda pasti sembahyang yang tidak sampai 20 minit itu dapat memberatkan timbangan amal anda di akhirat?

Sungguh berat urusan sembahyang ini. Sahabat Rasulullah SAW menjaga sembahyang mereka melebihi penjagaan mereka terhadap harta dan dunianya. Sehingga Saidina Umar bin al-Khattab ketika ditikam hingga rebah berlumuran darah sewaktu sembahyang. Walaupun pelbagai ubat digunakan untuk menyedarkannya, tidak juga berhasil, akhirnya seorang sahabat menemukan ubat yang paling mujarab iaitu dengan satu kalimah saja.

Katanya: “Wahai Umar. Sudah datang waktu sembahyang.” Umar terus bangkit dan bertakbir tanpa mempedulikan sakitnya.

Bahkan, beliau pernah berpesan kepada sahabatnya: “Jika kalian melihat seseorang mempersiakan sembahyangnya, maka demi Allah pasti dia akan lebih menyia-nyiakan urusan yang lainnya.”

Ada beberapa tingkatan kesempurnaan sembahyang, iaitu: Orang yang sembahyang tetapi tidak sempurna, wuduknya, syarat dan rukunnya, hatinya lalai.

Orang yang sembahyang, sempurna wuduknya, syarat dan rukun tetapi dia terlalu was-was dalam hati sehingga mengganggu kekhusyukan sembahyangnya.

Orang yang sempurna wuduk, syarat dan rukun. Amat bermujahadah melawan perasaannya supaya terus-menerus khusyuk.

Orang yang bukan hanya sempurna ilmu sembahyangnya, malah mampu meletakkan hatinya di hadapan Allah, seolah-olah melihat-Nya, berasakan keagungan-Nya sehingga dinding pemisah di antaranya dengan Allah terangkat.

Komunikasi terjalin dan segala bentuk was-was musnah kerana ia terlalu sibuk bersama dengan Tuhannya. Tiada rasa takut kehilangan khusyuk, semuanya berjalan dengan lancar dan tiada gangguan lagi.

Peringkat ini akan dirasakan setiap hamba bergantung kepada ilmu dan mujahadahnya. Jika anda dulu pernah sampai pada peringkat keempat cubalah teliti hari ini mungkin anda sudah jatuh ke beberapa tangga, anda terpaksa mendaki lagi sehingga Allah reda dengan usaha kita.

BH 24 JUL 2006

Thursday, February 18, 2010

6 Pesanan Untuk Wanita

From: "Nur Haipha Mohd Noor"

1. Jaga solat pada awal waktu. Kalau datang haid sekalipun jika tidak dapat solat, kena duduk atas tikar sembahyang supaya anak tidak lihat kita meninggal solat.

2. Hidupkan Bacaan Hadis Nabi saw di rumah dengan keluarga. Dianjur baca Hadis Fadhilat Amal. Ini amalan sahabiah zaman Nabi saw sehingga dari rumah kita keluar anak-anak yg soleh yg mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa dunia/akhirat.

3. Baca Al Quran setiap hari walaupun hanya 8 ayat. Kalau tak mampu nak baca kerana terlalu sibuk, cukup dengan mencium Al Quran dan muhasabah 'Ya Allah, apa dosa saya hingga saya tak dapat nak baca kitab Mu pada hari ini."

4. Mendidik anak secara Islam. Mengajar anak-anak dari kecil bermula dengan doa-doa masnun.Iaitu doa seharian Nabi saw seperti doa tidur, bangun tidur, makan dan sebagainya.

5. Hidup sederhana dengan tidak membebankan suami. Setiap hari malaikat akan menghantar 500 jambangan bunga dari syurga untuk wanita yg hidup sederhana. Setiap titisan air masakan dan basuhan mereka akan menjadi zikir mohon keampunan kepada Allah swt atas wanita tersebut.

6. Galak suami untuk bermujahadah atas Agama Allah. Seorang isteri yg menggalakkan suaminya untuk solat berjemaah di Masjid/Surau akan dapat pahala berjemaah suaminya termasuk solat dia sendiri.

Mudahan-mudahan ulasan ringkas ini bermanfaat. Muzakarahlah bersama teman supaya hakikat amalan ini masuk dalam hati kita dan mudah nak amalkan.



Kuasai Marah Bukti Kekuatan Sebenar

(Salam Sejahtera untuk pengunjung yang sudi menjengah blog Umi..
Agak lama juga tidak memanfaatkan blog ini. Di sini umi lampirkan artikel yang boleh memberi pengajaran untuk kita semua disumbangkan oleh sahabat umi....)

Sifat suka marah adalah tabiat tidak disukai oleh Allah dan
Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah marah nescaya engkau memperoleh Syurga.”
(Riwayat Tabrani)

Mengikut hadis yang diriwayatkan Bukhari, seorang lelaki
meminta nasihat dari Rasulullah SAW. Sabda baginda, “Jangan
kamu marah...”

jika umat Islam dapat rasai bahawa marah sesuatu yang tidak
baik maka akan timbul rasa bersalah untuk marah-marahkan
orang lain. Kalau pun ada perasaan hendak marah dapatlah
dibendung agar tidak melampaui batas dibenarkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah kuat
seseorang itu dengan kuatnya tubuh badan tetapi dinilai kuatnya
apabila dia dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)

Untuk meredakan kemarahan yang membuak-buak itu
dianjurkan beberapa perkara:

o Tinggalkan majlis yang menyebabkan anda menjadi marah
o Segera sejukkan diri dengan mengambil wuduk
o Solat sunat mutlak dan beristighfar keinsafan
o Baring bagi merehatkan fikiran.

Apabila berhadapan dengan orang yang sedang marah,
tenteram dengan:

# Laungkan azan di telinga kanan dan kirinya, dan jika tidak
boleh menghampirinya bayangkan telinganya dan azankan
padanya

# Minta maaf kalau anda di pihak yang bersalah dan lembutkan
hatinya dengan memohon maaf walaupun dia di pihak bersalah

# Jika tidak berkurang juga, tinggalkan dia sendirian

# Doakan kepada Allah SWT agar dihilangkan sifat marahnya
itu.

Manakala seseorang yang melakukan dosa kemudian insaf atas
perbuatannya yang lalu adalah sesuatu yang baik. Itu petanda
dia sudah bertaubat.

Seseorang yang bertaubat (diterima taubatnya) seperti orang
yang tidak berdosa lagi.

Seseorang Islam tidak boleh bersikap putus asa dan taubatnya
mesti dibuat selalu dan selagi belum dirasai ketenangan
teruskan bertaubat. Allah SWT suka mendengar rintihan hamba-
Nya yang bertaubat.

BH 26 APRIL 2006 * 27 RABIUL AWAL 1427