Wednesday, November 4, 2009

Antara Istighfar dan Taubat Seorang Pendusta.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “barang siapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan.’’

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar menjadi kudis.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mencurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku seorang nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali.’’

Jika Nabi S.A.W yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w itu.

Bagi Nabi s.a.w yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan ‘muqorrobin’ seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan malam tahajud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh dikekalkan sudah dikira termasuk golongan ‘abrar’.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongan muqarrobin jika ibadatnya sekadar itu.

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: “Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta.’’

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat untuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Diambil dari Risalah Masjid....agar dimanfaatkan untuk semua yang sudi membacanya..

KATA-KATA HIKMAH ORANG-ORANG SOLEH

Khalifah ur Rasyidin yang pertama dan Sahabat utama Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As Siddiq pernah meninggalkan pesan, katanya:

1. Siapa yang memasuki kubur dengan tidak membawa bekalan samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak berperahu.