Monday, April 5, 2010

Tiga Syarat Perlu Dipatuhi Supaya Rezeki Diberkati

Salah satu perkara yang perlu dipenuhi oleh manusia di atas muka bumi ini untuk meneruskan kehidupan mereka ialah mendapatkan rezeki. Rezeki ialah suatu yang dapat diambil manfaatnya oleh setiap makhluk yang hidup seperti makanan, minuman dan lain-lain. Allah SWT menjadikan dunia ini yang terdiri daripada langit, bumi, bukit, gunung, sungai, paya, laut dan semua kehidupan di dalamnya sebagai punca rezeki kepada hamba-Nya.

Tinggal lagi manusia perlu berusaha untuk mendapat rezeki itu dengan kebijaksanaan melalui akal yang diberikan kepada mereka. Selepas melalui kehidupan ini melalui rezeki yang didapati, maka mereka akan kembali kepada-Nya untuk menerima tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Firman Allah dalam surah al-Mulk 67: 15 yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan. Maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya dan makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)”.

Melalui ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa di atas muka bumi ini terdapatnya rezeki dari-Nya untuk hamba-Nya. Oleh itu manusia perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki itu. Ada orang yang mudah untuk mendapatkannya dan ada orang yang susah untuk mendapatkannya. Sesungguhnya mereka yang mudah untuk mendapat rezeki adalah kerana manusia yang menghambakan dirinya kepada Allah dalam segenap kehidupannya dengan seikhlas-ikhlas pengabdian.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud: “Allah SWT berfirman kepada Malaikat yang diserahkan dengan urusan rezeki Bani Adam: Hamba manupun yang kamu dapati yang cita-citanya hanya satu (iaitu semata-mata untuk akhirat), jaminlah rezekinya di langit dan bumi. Dan hamba yang dapati mencari rezekinya dengan jujur kerana berhati-hati mencari keadilan, berilah dia rezeki yang baik dan mudahkan baginya.

“Dan jika ia melampaui batas kepada selain itu, biarkanlah dia sendiri mengusahakan apa yang dikehendakinya. Kemudian dia tidak akan mencapai lebih dari apa yang telah Aku tetapkan untuknya. Melalui hadis di atas, terdapat tiga perkara yang perlu diambil perhatian dalam mencari rezeki”.

Pertama orang yang mencari rezeki perlu memusatkan kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah kerana setiap kerja yang dilakukan kerana Allah Allah jamin baginya rezeki di langit dan di bumi.

Kedua, orang yang mencari rezeki perlu bersikap jujur kerana sikap tersebut akan dipermudahkan oleh Allah baginya untuk mendapatkan rezeki. Ketiga, dalam mencari rezeki manusia tidak boleh melampau batas dengan tidak mengingati Allah (lantas mengambil rezeki yang ditegah oleh-Nya) kerana Allahlah memberikan kepada manusia segala rezeki yang diperolehnya.

Dalam usaha manusia mencari rezeki, kadang-kadang terdapat di kalangan mereka yang mendapat rezeki dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka. Sekiranya seseorang itu telah menerima rezeki dalam bentuk tersebut, maka sesungguhnya ketahuilah, mereka adalah tergolong dalam orang yang bertakwa.

Dan sekiranya seseorang hamba itu berusaha mencari rezeki dan kemudian bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan rezeki yang akan diperolehnya. Ini dijelaskan dalam firman Allah dalam surah al-Thalaq 65: 2-3 yang bermaksud: “Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dengan segala yang menyusahkan) serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

“Dan (ingatlah!) sesiapa yang menyerah diri bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah menentukan kadar dan masa bagi setiap apa berlaku”

Dalam usaha setiap insan mencari rezeki, mereka perlu mengelak daripada mendapatkannya daripada sumber yang haram kerana sumber rezeki yang haram seperti mencuri, berjudi, menipu dan seumpamanya akan menghilangkan keberkatan.

BH 15 JUN 2006 * 18 JAMADILAWAL 1427

DOA

Email dari sahabat Umi untuk tatapan dan manfaat kita semua .....

Doa-doa Yang Makbul:
1] Orang yang terdesak.
2] Orang yang teraniaya/dizalimi.
3] Anak yang berbuat baik terhadap kedua ibubapanya.
4] Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim & tidak memutuskan silaturrahim.

Tanda-tanda Doa Yang Makbul:
1] Terasa sesuatu yang menakutkan.
2] Menangis tatkala berdoa.
3] Terasa menggeletar.

Cara-cara Berdoa:
1. Bersungguh-sungguh semasa berdoa. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:"Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bersungguh-sungguh semasa ia berdoa"

2. Menghadirkan diri kpd Allah dengan penuh kekhusyukkan kerana Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai.

3. Hendaklah makanan, minuman, pakaian dan sebagainya dari harta yang halal kerana sesungguhnya Allah itu baik & menerima melainkan yang baik belaka.

4. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, khianat, memutuskan silaturrahim & jangan sesekali memohon SEGERA dimakbulkan doa tersebut.

5. Digalakkan memperbanyakkan menyebut Asmaul Husna, dimulai dengan bertaubat, istighfar, hamdalah serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w & para sahabat.

6. Sebelum berdoa, bersedekahlah terlebih dahulu (al-fatihah dan sebagainya).

Kata-Kata Nasihat Ibnu Qayyim

# Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah

# Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinakdengan dengan Allah
# Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt

# Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya

# Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya
# Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.

# Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya. Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendunghajat hati sihamba itu.
Wassalam

Nabi s.a.w bersabda : "Beramallah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya ,dan beramallah kamu untuk Akhiratmu,seolah-olah kamu akan mati besok"