Thursday, February 25, 2010

Jiwa Beriman Tenang Hadapi Maut

Salah satu perkara yang menjadi rahsia Allah ke atas setiap manusia adalah mengenai bilakah mereka akan menemui ajal masing-masing atau kematian.

Manusia perlu ingat dan bersedia untuk menemui kematian kerana kematian pasti akan terjadi ke atas setiap jiwa. Ia dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati.” (Ali-'Imran, ayat 185).

Melalui ayat di atas, dapat difahami bahawa bukan hanya manusia saja akan menemui kematian, malah kematian itu akan terjadi ke atas setiap jiwa atau makhluk Allah dan hanya Allah sajalah bersifat kekal abadi.

Ia dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Semua yang ada di bumi itu akan binasa, dan akan tetap kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Surah al-Rahman, ayat 26-27).

Oleh kerana kematian itu sesuatu yang pasti seperti dijelaskan dalam ayat di atas, maka sewajarnyalah manusia bersedia menghadapinya kerana keadaan kematian amat memeritkan bagi mereka yang menghadapinya.

Gambaran ini dijelaskan oleh Saidina Umar yang bertanya kepada Kaab al-Ahbar. Saidina Umar bertanya: “Wahai Kaab, bolehkah kamu menggambarkan kematian kepadaku’’.

Kaab menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, perumpamaan kematian itu bagaikan seorang lelaki yang dipukul dengan sebatang pokok bidara (pokok yang penuh dengan duri tajam).”

Setiap duri akan masuk dan menusuk ke dalam urat saraf. Sebaik saja batang pokok itu ditarik dengan kuat, maka setiap duri yang melekat pada urat saraf itu akan tercabut bersama-sama urat itu.

Rasulullah mengingatkan bahawa ketika menghadapi sakratul maut, hendaklah seseorang itu membacakan doa supaya diringankan sakratul maut itu. Doa itu bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku menghadapi sakratul maut, Ya Allah ringankanlah sakratul maut yang aku hadapi ini.’’

Sebelum manusia menemui kematian, ruang kehidupan yang Allah kurniakan untuk beramal, kerana apabila kematian menjemputnya, tiada lagi.Saidina Ali pernah menyebut dunia ini akan ditinggalkan pergi sedangkan akhirat sedia menanti.

Hari ini adalah hari beramal bukan hari dihisab, sedangkan esok (akhirat) adalah hari dihisab bukan beramal.
Apabila kematian menjemput mereka, maka semua amalan mereka akan terputus melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak salih yang mendoakannya.

Ia dijelaskan dalam hadis, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat (berguna) atau anak yang salih yang sentiasa mendoakannya.’’ (Hadis riwayat Muslim).

Melalui hadis itu, tiga perkara ini akan terus membantu manusia yang menemui kematian dari segi ganjarannya walaupun mereka meninggalkan dunia yang fana ini. Oleh itu, setiap muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan tiga perkara yang sangat berguna kepada mereka, selepas hancur berkecai tubuh mereka dimamah kematian.

Ibn Kathir menjelaskan, pada suatu hari Umar Abdul Aziz melintasi sebuah perkuburan bersama kawannya, lalu berkata: “Wahai kematian, apakah yang kamu buat terhadap orang yang kami cintai dahulu? Di manakah kekasih kami itu? Di manakah kawan sepermainan dan teman-teman cerita kami dahulu. Wahai kematian, apakah yang telah kamu buat terhadap mereka?’’

Umar tiba-tiba menangis dan berkata kepada kawannya: “Tahukah kamu, apakah sebenarnya jawapannya? Mereka menjawab: Kami tidak tahu.’’

Umar berkata: “Ketahuilah, kematian itu menjawab: Aku memakan kedua-dua rahang dan kedua-dua biji mata mereka. Aku memisahkan kedua-dua telapak tangan dari pergelangan mereka. Aku memutuskan kedua-dua pergelangan dari siku mereka. Aku meleraikan kedua-dua lengan dari badan mereka.’’

Berdasarkan gambaran kematian di atas, dapat difahami bahawa kematian itu bukan hanya dengan tercabut nyawa seseorang, malah turut menghancurkan tubuh setiap insan. Oleh itu, manusia perlu ingat dan bersedia menghadapi kematian.

Ada tiga cara supaya seseorang itu sentiasa mengingati kematian.

[1] Hendaklah kita sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Apabila sampai di tanah perkuburan itu, kita cuba ingatkan di manakah tinggalnya orang kita sayangi dulu seperti datuk nenek, ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran tetangga. Mereka dulunya adalah orang kita menumpang manja, orang yang bersuka ria dan bersenda gurun dengan kita, Kini mereka tiada dan sudah pastinya akan sampai nanti giliran kita.

[2] Hendaklah kita membaca dan menghayati kitab Allah dan hadis Rasulullah kerana di dalamnya terdapat segala suruhan dan larangan yang perlu dipatuhi untuk menjadi insan bertakwa. Dengan adanya nilai ini, seseorang insan itu sudah pasti membawa bekalan terbaik untuk menemui kematian.

[3] Hendaklah kita sentiasa berkawan dengan orang yang salih, kerana mereka akan menjadikan kita orang yang ingatkan kepada kematian dan kehidupan akhirat.

Cara Mengingati Kematian

* Sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Apabila sampai di tanah perkuburan itu, kita cuba ingatkan di manakah tinggalnya orang kita sayangi dulu seperti datuk nenek, ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran tetangga.
* Membaca dan menghayati kitab Allah dan hadis Rasulullah kerana di dalamnya ada segala suruhan dan larangan yang perlu dipatuhi untuk menjadi insan bertakwa.
* Berkawan dengan orang yang salih, kerana mereka akan menjadikan kita orang yang ingatkan kepada kematian dan kehidupan akhirat.

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepemimpinan UKM.

BH 16 DIS 2006 * SABTU

Ganjaran Pahala Solat Subuh Mengatasi Keindahan Dunia

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.
Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.
Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.
Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh. Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.
Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)


Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”
Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).
Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.
Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)
Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.


BH 25 JUN 2007 * 9 JAMADILAKHIR 1428