Thursday, December 31, 2009

TELITILAH SEMBAHYANG KITA

PERSOALAN ibadah yang paling utama kita titikberatkan sembahyang. Ia diibaratkan tiang agama dan di akhirat kelak awal-awal lagi kita akan ditanya tentangnya sama ada telah beres atau tidak. Sekiranya kita dapat kekal menunaikan sembahyang fardhu lima waktu setiap hari, apakah kita sudah boleh berpuashati? Terjamin sembahyang kita itu diterima Allah? Sembahyang yang akan diterima ialah sembahyang yang khusyuk.

Tanda sembahyang seseorang itu diterima ialah sebagaimana firman Allah:

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah kamu daripada beruat kejahatan dan kemungkaran.’’
Al Ankabut: 20


Marilah kita muhasabah diri sendiri. Adakah sembahyang kita sudah khusyuk. Jika belum, tidak hairanlah kita masih belum lepas daripada kejahatan dan kemungkaran; lebih-lebih lagi kejahatan batin. Ini jugak bermakna sembahyang kita tidak membuahkan akhlak samada dengan Allah atau sesama manusia. Maka kita perlu serta memperkemaskinikan sembahyang kita.

Bagaimana cara atau usaha yang boleh kita lakukan untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Apabila mendengar seruan azan, berhentilah daripada segala kerja dan berdiam seketika untuk menyahut kalimah azan. Cuba hadirkan hati kita, rasakan bahawa azan itu seumpama seruan yang hebat pada hari pembalasan, bayangkanlah betapa dahsyatnya hari tersebut. Lalu segeralah kita sahut panggilan azan itu. Sebaik-baiknya berwuduklah sebelum azan lagi dan ketika azan kita sudah bersedia di tikar sembahyang.

Sesudah itu, bersedialah menghadap kekiblat sambil berdiri lurus seolah-olah kita sedang berhadapan dengan seorang pembesar dunia. Kalau dihadapan pembesar dunia pun kita sudah rasa malu, rasa gerun, dan rasa takut untuk tidak beradab, maka apatah lagi di hadapan Allah. Dia yang akan memerhatikan segala tingkah laku kita lagi maha mengetahui zahir batin kita.

Sekiranya hati kita masih belum khusyuk, tidak ada rasa takut dan gentar, itu tandanya nafsu kita telah menebal dan hati kita telah kotor dengan karat-karat dosa yang payah hendak dikikis. Oleh itu katakanlah pada diri:

“Wahai jiwa, tidakkah engkau malu berhadapan dengan Penciptamu? Mengapa engkau tidak mahu merendah diri di hadapan-Nya? Alangkah sombong dan tololnya engkau? Ya Allah, bukan aku tidak mahu menjadi orang yang bertaqwa, tetapi nafsuku terlalu jahat. Bantulah aku, ya Allah’’.

Kita berharap setelah puas kita mengeji diri moga-moga datang rasa takut dan malu kepada Allah. Kita bimbang kalau-kalau dimatikan ketika itu sedang Allah tidak padang dengan rahmat-Nya, tentulah kita akan rasa rugi dan menyesal tidak sudah. Mudah-mudahan setelah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadirkan hati, maka Allah akan campakkan rasa khusyuk itu dalam sembahyang yang hendak kita tegakkan.’’

Oleh Sirojun Munirah