Monday, September 27, 2010

Enam Amalan Tingkat Keimanan


JIWA tenang, keluarga bahagia nikmat terbesar dikecapi mukmin. Nikmat terbesar dikecapi umat Islam ialah menjadi orang beriman kerana tidak akan ada kepercayaan yang diterima di sisi Allah selain daripada kepercayaan agama Islam dan tidak akan ada lagi nabi selain daripada Nabi Muhammad.

Namun, di kalangan orang beriman itu ada pula di kalangan mereka yang beruntung. Keuntungan mereka itu disebabkan oleh beberapa perkara seperti dijelaskan dalam surah al-Mukminun, ayat 1-9 bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tiada berguna. Dan orang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka mereka dalam hal ini tiada tercela, barang sesiapa yang mencari yang sebaliknya, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat yang dipikulnya dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya.

Dalam ayat itu dapat difahami ada enam perkara dilakukan oleh orang mukmin akan menyebabkan mereka menjadi orang beruntung.

01] Mereka adalah orang mukmin yang khusyuk solatnya. Ali Abi Talib menjelaskan khusyuk itu adalah kekhusyukkan hati.

Penjelasan Ali ini diperkuatkan oleh Hassan al-Basri yang menjelaskan bahawa kekhusyukkan mereka itu berada di dalam hati mereka sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri.

Khusyuk dalam solat hanya akan dapat dilakukan orang memfokuskan hati padanya dengan melupakan pelbagai aktiviti selain mengerjakan solat itu semata-mata serta mengutamakan solat ke atas aktiviti yang lain.

Pada saat itulah akan terwujudnya ketenangan dan kebahagiaan baginya seperti dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda:

“Diberikan kepadaku kecintaan terhadap yang baik dan terhadap wanita, dan dijadikan solat untukku sebagai amalan yang paling menyenangkan (Hadis riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai),”

02] Orang mukmin menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan percakapan yang tidak berguna seperti dari perbuatan batil, syirik, maksiat dan yang tidak membawa faedah untuk dirinya seperti dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 72 bermaksud:

“Dan apabila mereka bertemu dengan (orang) mengerjakan perbuatan tidak berfaedah, mereka lalu (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.”

03] Orang mukmin menunaikan zakat kerana pada harta dimiliki oleh seseorang itu ada hak orang lain perlu dilunaskan. Ia dijelaskan Allah dalam surah al-An'am, ayat 141 bermaksud:

“Dan keluarkan haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya. Dijelaskan juga dalam ayat lain dengan mengeluarkan zakat itu dapat menyucikan jiwa seseorang mukmin.”

Ia dijelaskan Allah dalam firman-Nya dalam surah As-Syam, ayat 9-10 bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang mengotorinya.”

04] Orang mukmin memelihara kemaluannya daripada perkara haram dengan tidak terjerumus dalam hal yang dilarang Allah sama ada dalam perzinaan dan homoseksual.

Mereka tidak akan mendekati seseorang melainkan isteri mereka sendiri dihalalkan oleh Allah. Malah Imam Shafie menggunakan ayat ini juga untuk mengharamkan onani.

05] Orang mukmin memelihara amanah diberikan dan janji dijanjikan. Mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin apabila diberi tugas untuk dipikulnya dan tidak terlintas dalam hati sanubarinya untuk mengkhianati amanah itu. Dan jika mereka berjanji atau melakukan akad perjanjian, mereka akan menepatinya, tidaklah mereka ini seperti orang munafik.

06] Orang mukmin memelihara solatnya dengan melaksanakannya tepat pada waktunya. Ibn Mas'ud pernah bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, apakah amal perbuatan disukai Allah? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Lalu apa lagi, tanyaku. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua orang tua. Kemudian
apa lagi, tanyaku: Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Melalui enam perkara itu akan membezakan antara keuntungan seseorang mukmin dengan mukmin lain. Ia bererti, tidak semua orang mukmin beruntung.

Hasil amalan itu, mereka akan ditempatkan oleh Allah dalam syurga Firdaus. Ia dijelas Allah juga dalam surah al-Mukminun, ayat 10-11 bermaksud: “Mereka itulah orang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”

Rasulullah mengajar kepada umat Islam, sekiranya ingin memohon syurga Allah, maka mintalah syurga. Ia dijelaskan dalam hadis yang Rasulullah bersabda: “Jika kamu meminta syurga Allah, maka mintalah syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling tinggi dan paling tengah. Darinya terpancar sungai-sungai syurga dan di atasnya ada Arasy Rabb yang Maha Pemurah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Intipati : Amalan Orang Mukmin

• Khusyuk solat. • Menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan percakapan yang tidak berguna seperti dari perbuatan batil, syirik dan maksiat. • Memelihara kemaluannya daripada perkara haram seperti perzinaan dan homoseksual. • Menunaikan zakat. • Memelihara amanah dan janji. • Solat tepat pada waktu.


Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus - Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan UKM.

BH 01.02.2007 * 13 MUHARRAM 1428