Thursday, March 25, 2010

Tajdid Iman: Tangisan Keinsafan Pembersih Dosa

Bersama Dr Juanda jaya

Bangun dan sujud pada tengah malam amalan Rasullah serta sahabat. Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.

Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.

Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: “Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur. Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan?

Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?
Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

Inti Pati
Seseorang manusia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya, oleh itu letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama padaalam kubur. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan yang amat penting. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Menangis kerana ingatkan hari perhitungan. Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

BH 19 JUN 2006

Terima kasih pada sahabatku yang menghantar artikel yang boleh menjadi pedoman untuk kita semua....

Solat Istikharah Jadi Pedoman Orang Mukmin

Oleh Zuarida Mohyin

Sebut sahaja solat sunat Istikharah, pasti yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh terbaik. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini.

Pensyarah di Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Zahazan Mohamed menjelaskan istikharah yang membawa maksud ‘meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan’ merupakan senjata orang yang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat.

Yang pasti urusan itu tidak sahaja yang melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat itu memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

“Rasulullah s.a.w. telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.

“Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan solat ini mencakupi urusan-urusan besar atau kecil. Banyak masalah yang kita sangkakan kecil akhirnya berkembang menjadi masalah yang lebih besar,” kata Zahazan yang juga giat menulis buku dengan penerbitan Telaga Biru.

Secara umumnya, kata Zahazan, pensyariatan ibadat ini adalah untuk menunjukkan kepada umat Islam kaedah memohon pertolongan Allah agar diberi taufik dan hidayah dalam membuat keputusan. Seperti mana banyak dijelaskan, ibadah ini diajar oleh Nabi sebagai jalan keluar daripada pergantungan kepada syaitan dalam amalan penujuman dan perbomohan yang menyebabkan penipuan dan penganiayaan terhadap hak sesama manusia.

Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan. Sebaliknya, Allah menjelaskan dalam al-Quran, ... kalaulah aku (Nabi Muhammad) mengetahui hal yang ghaib (akan berlaku), tentu aku akan berbuat kebaikan dengan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa sebarang kemudaratan.” (al-A’raf: 188)

Ayat ini menerangkan tentang peringatan Allah kepada kita bahawa Nabi s.a.w. yang menerima wahyu daripada-Nya juga tidak mengetahui apakah yang akan berlaku, inikan pula kita. Lantaran itu, memohon kepada Allah agar beroleh reda-Nya merupakan petanda ketakwaan dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Ini merupakan manifestasi keimanan yang mutlak kepada-Nya. Hal ini disebutkan dalam hadis pada bab Muraqabatullah dalam Kitab Riyadhus Solihin, Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: Apabila kamu meminta pertolongan mintalah kepada Allah. (Riwayat Tirmizi)

Terdapat juga sebuah athar yang bermaksud: “Tidak akan kecewa orang yang melakukan istikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat dengan orang lain.”

Menurutnya lagi, dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)

Malah, menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya.

Al-Zamlakani pula mengatakan: “Jika seseorang mengerjakan solat istikharah dua rakaat untuk sesuatu hal, maka hendaklah dia setelah itu melakukan perkara yang kelihatan baginya sama ada dia berasa senang ataupun tidak, kerana kebaikan itu berada dalam jiwanya sekalipun jiwanya tidak menyenanginya.”

Selain itu, kata Zahazan, tiada satu keterangan daripada hadis yang menjelaskan bahawa seseorang itu akan diilhamkan dengan perasaan senang hati atau sebagainya.

“Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan seseorang yang bersolat sunat ini akan memperoleh petanda tertentu melalui mimpi atau sebagainya. Namun begitu jika berlaku petunjuk seperti itu ia merupakan nikmat Allah.

“Hadis di atas bermaksud urusan yang dilakukan itu akan dipermudahkan oleh Allah dan diberikan keberkatan. Atau dalam keadaan lain, Allah akan memberikannya sesuatu kebaikan yang lain. Malahan dia akan sentiasa mendapat kebaikan dalam semua urusannya,” katanya.

Nasihat Zahazan, jadikanlah solat sunat ini sebagai satu ibadah yang dilakukan ikhlas kerana-Nya. Ambillah kesempatan untuk bermesyuarat dengan sahabat-sahabat yang soleh kerana Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat ke 159 bermaksud: dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Batas waktu

Solat Istikharah adalah solat yang dilakukan di luar solat wajib tanpa dibataskan waktu-waktu yang tertentu. Jadi ia boleh diamalkan pada bila-bila masa. Al-Imam al-Nawawi menyatakan dalam al-Azkar, solat ini boleh dikerjakan dengan dua rakaat sunat rawatib, tahiyatul masjid dan solat-solat sunat yang lain. Walau bagaimanapun melihat kepada susunan oleh al-Bukhari, beliau cenderung ke arah menggalakkan ibadat ini dikerjakan pada waktu malam, kerana lazimnya istikharah dilakukan sebagai usaha mendapat pimpinan Allah.

Justeru, waktu malam merupakan pilihan yang tepat memandangkan kepada sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari bermaksud: Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata: Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk-Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk-Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk-Ku ampunkan?

Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita bahawa solat ini dikerjakan secara bersendirian di luar waktu solat fardu. Walaupun tiada keterangan yang khusus menunjukkan kepentingannya untuk dilakukan bersama dengan solat hajat dan tahajjud, tetapi lazimnya waktu bertahajjud merupakan waktu yang baik untuk bermunajat kepada Allah.

Doa

Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang tepat dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mendapat penyelesaian ) dengan kekuasaan-Mu, aku memohon daripada anugerah-Mu yang Maha Agung, sesungguhnya Engkau maha berkuasa, sedangkan aku tidak, Engkau maha mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau maha mengetahui perkara yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini ... (disebutkan hajatnya ) baik untukku dalam urusan agamaku, hidupku dan kesudahanku, maka mudahkanlah bagiku dalam urusan itu, kemudian kurniakanlah berkat kepadaku.
Akan tetapi bila Engkau mengetahui bahawa persoalan itu lebih bahaya kepadaku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahanku, maka elakkanlah aku daripadanya, kemudian takdirkan bagiku segala perkara yang baik di mana saja dan jadikanlah aku orang yang reda dengan ketetapan tersebut.

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menganjurkan agar seseorang yang mempunyai hajat itu menyebutkan hajatnya di pertengahan doa agar diberi petunjuk oleh Allah s.w.t..

Bacaan surah

Sebenarnya tiada suatu dalil pun yang menetapkan bacaan surah tertentu mengiringi al-Fatihah. Walau bagaimanapun, al-Imam al-Nawawi menerusi kitabnya al-Azkar mencadangkan agar membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama selepas al-Fatihah dan al-Ikhlas pada rakaat kedua selepas al-Fatihah. Kenyataan ini disokong oleh al-Iraqi dalam Syarah al-Azkar oleh Ibn Allan, Wallahu A'lam.

UTUSAN 19 JUN 2006