Thursday, December 31, 2009

TELITILAH SEMBAHYANG KITA

PERSOALAN ibadah yang paling utama kita titikberatkan sembahyang. Ia diibaratkan tiang agama dan di akhirat kelak awal-awal lagi kita akan ditanya tentangnya sama ada telah beres atau tidak. Sekiranya kita dapat kekal menunaikan sembahyang fardhu lima waktu setiap hari, apakah kita sudah boleh berpuashati? Terjamin sembahyang kita itu diterima Allah? Sembahyang yang akan diterima ialah sembahyang yang khusyuk.

Tanda sembahyang seseorang itu diterima ialah sebagaimana firman Allah:

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah kamu daripada beruat kejahatan dan kemungkaran.’’
Al Ankabut: 20


Marilah kita muhasabah diri sendiri. Adakah sembahyang kita sudah khusyuk. Jika belum, tidak hairanlah kita masih belum lepas daripada kejahatan dan kemungkaran; lebih-lebih lagi kejahatan batin. Ini jugak bermakna sembahyang kita tidak membuahkan akhlak samada dengan Allah atau sesama manusia. Maka kita perlu serta memperkemaskinikan sembahyang kita.

Bagaimana cara atau usaha yang boleh kita lakukan untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Apabila mendengar seruan azan, berhentilah daripada segala kerja dan berdiam seketika untuk menyahut kalimah azan. Cuba hadirkan hati kita, rasakan bahawa azan itu seumpama seruan yang hebat pada hari pembalasan, bayangkanlah betapa dahsyatnya hari tersebut. Lalu segeralah kita sahut panggilan azan itu. Sebaik-baiknya berwuduklah sebelum azan lagi dan ketika azan kita sudah bersedia di tikar sembahyang.

Sesudah itu, bersedialah menghadap kekiblat sambil berdiri lurus seolah-olah kita sedang berhadapan dengan seorang pembesar dunia. Kalau dihadapan pembesar dunia pun kita sudah rasa malu, rasa gerun, dan rasa takut untuk tidak beradab, maka apatah lagi di hadapan Allah. Dia yang akan memerhatikan segala tingkah laku kita lagi maha mengetahui zahir batin kita.

Sekiranya hati kita masih belum khusyuk, tidak ada rasa takut dan gentar, itu tandanya nafsu kita telah menebal dan hati kita telah kotor dengan karat-karat dosa yang payah hendak dikikis. Oleh itu katakanlah pada diri:

“Wahai jiwa, tidakkah engkau malu berhadapan dengan Penciptamu? Mengapa engkau tidak mahu merendah diri di hadapan-Nya? Alangkah sombong dan tololnya engkau? Ya Allah, bukan aku tidak mahu menjadi orang yang bertaqwa, tetapi nafsuku terlalu jahat. Bantulah aku, ya Allah’’.

Kita berharap setelah puas kita mengeji diri moga-moga datang rasa takut dan malu kepada Allah. Kita bimbang kalau-kalau dimatikan ketika itu sedang Allah tidak padang dengan rahmat-Nya, tentulah kita akan rasa rugi dan menyesal tidak sudah. Mudah-mudahan setelah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadirkan hati, maka Allah akan campakkan rasa khusyuk itu dalam sembahyang yang hendak kita tegakkan.’’

Oleh Sirojun Munirah

Tuesday, December 22, 2009

BANYAK MAKAN MENGUATKAN NAFSU

Kelazimannya bagi meneruskan kehidupan didunia yang fana’ ini manusia memerlukan kepada makan dan minum. Justeru dengan pemakanan dan minuman ini akan memberikan kita tenaga untuk melakukan sebarang pekerjaan atau untuk aktiviti ibadah yang merupakan kewajiban bagi kita yang bernama Islam.

Allah SWT berfirman :


- Surah Al-Mukminun Ayat 51

“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang soleh’’.

Persoalannya bagaimanakah cara makan dan minum yang dituntut oleh syariat?.

Sesungguhnya seseorang yang makan berlebihan amatlah dicela dan dimurkai oleh Allah sWT. Di dalam keterangan hadis khususnya ada mengingatkan kita beberapa bahaya orang yang kuat makan di antaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Barang siapa yang kenyang dalam tidurnya nescaya keraslah hatinya’’.

Sabdanya lagi yang bermaksud:

“Tidak memenuhi kerajaan langit siapa yang memenuhi perutnya.’’

Begitulah Rasulullah memberi peringatkan agar kita tidak melampaui batasan kerana ia mendatangkan kesan yang tidak baik untuk tubuh badan kita dan juga masyarakat sekitar kita.

Makan dan minum yang keterlaluan yang berlebihan menjadikan kita bertambah malas, badan menjadi letih, melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh, serta kita mudah mengantuk kerana kekenyangan. Paling ditakuti hati menjadi keras kerana terlalu banyak makan dan minum serta kita menjadi malas untuk melakukan ibadat. Amatlah malang sekali bagi kita sekiranya perasaan malas untuk melakukan ibadat ada disebabkan terlampau kenyang.

Disamping menjadi malas, nafsu syahwat menjadi lebih subur dan kuat serta mendorong seseorang itu melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik serta lebih cenderung ke arah maksiat. Hati sentiasa digoda dan didorong idea yang tidak baik oleh syaitan agar menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan.

Hal ini pernah diceritakan oleh Lukman Al Hakim kepada anaknya:

“Wahai anakku! Jika perut menjadi penuh, fikiran akan tidur, kebijaksanaan akan menjadi bisu dan seluruh anggota malas untuk beribadah’’.
Seseorang yang terlampau kenyang boleh mendorong mereka melakukan kerja-kerja yang menyalahi hukum-hukum agama tetapi malas untuk melakukan ibadat. Inilah kebimbangan yang Rasulullah rasakan. Rasulullah sendiri makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang, juga Rasulullah sentiasa melaparkan perutnya untuk menundukkan nafsu makan yang keji itu.

Untuk membolehkan kita tekun beribadah dan meninggalkan maksiat sebaik-baiknya kita melaparkan perut sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Semulia-mulia kamu kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang paling lama berlapar dan bertafakur tentang Allah, dan yang paling dibenci antara kamu di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang paling banyak tidur, banyak makan dan minum.’’

Penawar bagi orang makan ialah dengan banyak berlapar kerana dengan itu dapat menjadi manusia yang taat kepada perintah Allah dan menjauhi segala rupa bentuk kejahatan dan maksiat.

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin diterangkan tentang faedah orang yang berlapar iaitu

Kejernihan hati, menyalakan bakat dan menajamkan bashirah. Kenyang menyebabkan kebodohan, membutakan hati, membanyak kabus dalam otak dan menjadikannya separuh mabuk hingga meliputi sumber-sumber fikiran menyebabkan hati berat mengalirkan perasaannya di dalam fikiran dan untuk menangkap dengan cepat. Abu Sulaiman AdDrani berkata:”Hendaklah engkau berlapar kerana ia menundukkan nafsu dan melembutkan hati dan mewariskan ilmu dari langit.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Hidupkanlah hati kamu dengan kurang ketawa dan kurang kenyang, dan sucikanlah ia dengan berlapar nescaya ia jernih dan lembut.’’

Dan lagi sabdanya:
Barangsiapa melaparkan perutnya nescaya besar fikirannya dan bijaksana hatinya.’’

“Sesungguhnya segala sesuatu itu ada zakatnya dan zakat tubuh badan ialah berlapar’’
.

Abu Yazid Al-Busthami berkata,
“lapar itu adalah seumpama awan, jika seorang hamba Allah merasa lapar nescaya hatinya menghujankan hikmah.’’

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Cahaya hikmah ialah lapar, dan kejahatan dari Allah ‘azza wajalla ialah kenyang, dan hampir kepada Allah ialah cintakan orang miskin serta mendekati mereka. Janganlah kamu kenyang kerana dengan kenyang kamu akan memadamkan cahaya hikmah dari hati kamu. Siapa yang tidur malam dalam keadaan ringan dari makanan nescaya bidadari tidur di sekelilingnya sehingga ke pagi.

Menundukkan nafsu serta menghilangkan perasaan bangga yang menjadi sumber kejahatan dan kelalaian dari mengingati Allah SWT. Nafsu tidak akan pecah berkecai dan tidak akan tunduk melainkan dengan kelaparan. Ketika lapar ia menjadi tenang menghadap Tuhannya dan terus menjadi lemah dan tunduk disebabkan tidak dapat menjamah makanan. Perut dan kemaluan adalah suatu daripada pintu-pintu neraka dan puncanya ialah kekenyangan. Menundukkan nafsu itu ialah satu daripada pintu-pintu syurga dan puncanya ialah berlapar.

Sesungguhnya orang yang kenyang itu selalunya lupakan orang yang lapar dan lupakan kelaparan. Hamba Allah yang bijaksana apabila menyaksikan sesuatu dugaan yang menimpa orang lain lantas ia teringat dugaan di hari akhirat, dan dengan dahaganya ia teringat akan kedahagaan makhluk di padang masyar, yang mana kelaparannya akan mengingatkan kelaparan orang-orang yang masuk neraka diberi makan kayu berduri dan buah zaqqum.

Sebesar-besar faedah dari berlapar ialah melemahkan setiap shahwat dan tenaga. Kerana sumber segala raja maksiat ialah kekuatan nafsu syahwat. Bahan tenaga kekuatan dan nafsu syahwat tentulah bermula dari makanan-makanan. Dan berkata Zun-Nun Al Misri: “Aku tidak pernah kenyang, kerana kalau kenyang aku melakukan maksiat.’’

Dengan berlapar jugak mengelakkan tidur dan sentiasa berjaga malam. Banyak tidur seperti mensia-siakan umur dan kehilangan sembahyang tahajjud dan mengeraskan hati. Secara tidak langsung tidur bererti mati dan perbuatan membanyakkannya bererti mengurangkan umur.

Makan sedikit amatlah berfaedah untuk kesihatan kerana setiap penyakit itu bermula dari perut.

Membolehkan seseorang itu mengingati akan anak-anak yatim serta bersedekah kepada mereka dengan makanan-makanan yang lebih dari yang diperlukan. Dan pada hari kiamat kelak ia berada di bawah lindungan bayang-bayang sedekahnya. Bersedekahlah dengan makanan-makanan yang lebih adalah lebih baik daripada menjadi gemuk dan kenyang.


Sumber: dari PENAWAR BAGI HATI

Monday, December 14, 2009

Kata-kata hikmah orang-orang soleh - Imam AlGhazali



Tanda-tanda bahawa seorang hamba (manusia) itu mencintai Allah swt antaranya ialah:

a.
Ia ingin berjumpa dengan siapa yang dicintaiNya. Keinginannya itu kuat sekali untuk berjumpa, sehingga jika ia yakin bahawa tiada jalan untuk itu kecuali dengan meninggalkan dunia ini, tentulah ia tidak keberatan.
b.
Ia bersedia meninggalkan segala yang disukainya jika bertentangan dengan perintah Allah.
c.
Ia mencintai Al-Quran (kitab sucinya), ia mencinta Rasulullah (pesuruhNya), mencintai apa saja dan siapa yang ada hubungannya dengan dia. Barangsiapa cinta kepada Allah, tentulah ia cinta kepada makhlukNya.
d.
Suka bermunajat dan berbisik-bisik denganNya, dikeheningan malam diambilnya kesempatan untuk solat tahajjud.
e.
Ia sangat merasa sayang kalau dalam hidupnya ada sesaat yang tidak terisi dengan zikir (ingat) atau taat kepadaNya.
f.
Taat kepadaNya itu dirasakan sebagai nikmat. Setiap orang yang asyik tidak akan merasa berat berbuat apa saja.
g.
Ia merasa kasih sayang kepada sekelian hamba Allah, tetapi keras terhadap musuh-musuhnya.
h.
Dalam cintanya itu ia merasa takut dan merasa dirinya rendah kerana hormat dan takzimnya. Takut di sini tidak bertentangan dengan cinta. Insaf akan kebesaran Allah itu menumbuhkan rasa ngeri. Berhadapan dengan keindahanNya dan kesempurnaanNya itu mendatangkan cinta.
i.
Ia merahsiakan cintanya, iaitu kerana takzim akan yang dicintanya, kerana memuliakanNya, kerana haibah kepadaNya.
j.
Merasa ramah dan gembira dalam bergaul dan berdekatanNya.
h.
Rela dan menerima dengan segala senang hati semua sesuatu yang datang daripadaNya.


petikan dari PENAWAR BAGI HATI..

Thursday, December 10, 2009

TIPS AMALAN PEMAKANAN SIHAT

Info ini umi kongsikan dari email yang diberi oleh sahabat umi....mudah mudahan kita semua mendapat kebaikannya...


 Makanlah makanan yang halal dari segi syarak dan punca rezeki yang digunakan untuk membeli makanan. Jauhkan dari memberi atau menerima rasuah, sama ada dari bawah, atas meja, bawah atau dari atas kerusi. Amalan memakan makanan dari tukang masak yang tidak mengerjakan solat juga boleh menggelapkan hati…

 Amalkan memulai makan dengan sekurang-kurangnya "BismilLah" dan menyudahi dengan "AlhamdulilLah".

 Jangan makan dan minum sambil berdiri, berjalan atau baring. Selain dari itu menampakkan pandangan tidak sopan.

 Biasakan rehat makan (puasa Isnin dan Khamis) bagi menyihatkan perut. Selain menambahkan ketakwaan kita kepada Allah, dengan melakukan amalan berpuasa sunat ini boleh mengelakkan diri kita dari melakukan perkara2 yang dilarang oleh Allah SWT.

 Jangan makan makanan yang terlalu panas atau terlalu sejuk (makanan/minuman yang baru dikeluarkan dari peti ais atau penggunaan ais batu sangat tidak digalakkan. Memakan makanan yang terlalu panas juga adalah makruh.

 Kurangkan makan makanan berminyak (bergoreng), berlemak dan berkolestrol. Digalakkan tukar cara masakan kepada rebusan atau kukus.

 Kurangkan makan makanan mengandungi garam dan gula yang tinggi. Makanan yang mengandungi garam kandungan garam yang tinggi telah menghilangkan rasa manis makanan itu sendiri.

 Kurangkan minuman manis, mengandungi kafein dan gas.

 Elakkan makan makanan mengandungi bahan perasa, bahan pengawet, MSG, dan bahan pewarna.

 Amalkan minum jus buah atau makan buah-buahan seperti kurma, betik, pisang dan lain-lain pada awal pagi. (Petua orang dulu-dulu ialah mulai makan/minum benda-benda yang belum bermasak pada awal pagi .

 Disyorkan makan nasi sehari sekali sahaja jika tidak bekerja kasar. Pilih lauk yang seimbang dari segi zat dan vitamin.

 Biasakan makan makanan/minuman berasaskan kacang dan bijirin kerana ia adalah sumber protin dan bahan terbaik untuk kecerdasan minda..

Sekiranya anda mampu mengamalkan perkara diatas, Alhamdulillah. SEKURANG-KURANGNYA ANDA TELAH MENUNAIKAN KEWAJIBAN IAITU MENJAGA KESIHATAN TUBUH BADAN YANG DIKURNIAKAN OLEH ALLAH SWT.

Marilah sama-sama kita mengamalkan cara2 pemakanan di atas, mudah-mudahan kita boleh terhindar dari segala jenis penyakit kronik. Paling penting kita dapat melakukan ibadat kepada Allah tanpa sebarangan halangan.

Wednesday, December 9, 2009

HADIS QUDSI


Hadis 1

Allah SWT berfirman:
“Wahai sekelian manusia. Aku hairan melihat orang yang meyakini kematian tetapi ia masih bergembira. Aku hairan melihat orang yang mempercayai hari berhisab, tetapi ia masih terus mengumpulkan harta. Aku juga hairan melihat orang yang meyakini akan masuk kubur, tetapi ia masih tertawa. Aku hairan melihat orang yang meyakini akhirat, tetapi ia masih bersenang-lenang.’’

“Aku hairan melihat orang yang meyakini hidup dunia dan segala bencananya, tetapi ia msaih terus tenteram bersamanya. Aku hairan melihat orang yang alim dengan lidah, tetapi jahil dengan hati. Aku hairan melihat orang yang menyucikan dengan air, sedangkan hatinya tidak bersih.’’

“Aku hairan melihat orang yang sibuk dengan aib dan cela orang lain, tetapi ia melupakan aib dan cela dirinya sendiri; atau melihat orang yang tahu bahawa Allah sentiasa memperhatikan tingkah-lakunya, tetapi ia masih terus berbuat maksiat. Begitu juga dengan orang yang tahu bahawa maut itu dilaluinya seorang diri, dihisab seorang diri, tetapi ia masih berjinak-jinak dengan manusia. Tidak ada tuhan selain Aku sebenarnya dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan rasul-Ku.’’

Hadis 2

Allah SWT berfirman:
“Diri-Ku menyaksikan diri-Ku sendiri bahawa tidak ada tuhan selain Aku sendiri, tidak ada sekutu bagi-Ku; Muhammad itu adalah hamba dan rasul-Ku. Sesiapa yang tidak rela dengan ketetapan-Ku, tidak sabar atas cubaan-Ku, tidak bersyukur atas nikmat-Ku dan tidak merasa cukup atas pemberian-Ku, maka hendaklah ia menyembah tuhan yang selain-Ku.’’

“Oleh itu, sesiapa berpagi-pagi berdukacita terhadap dunia, maka seolah-olah ia marah kepada-Ku; sesiapa yang merasa sakit atas sesuatu musibah, maka sesungguhnya ia ia telah menyakiti Aku; sesiapa menemui orang kaya lalu ia merendah diri dihadapannya kerana kekayaannya, maka sesungguhnya ia telah hilang dua pertiga agamanya; dan sesiapa yang memukul-mukul mukanya dihadapan orang mati, maka seolah-olah ia telah mengambil tombak dan menghunjamkannya kepada-Ku’ dan sesiapa yang memecahkan dahan kayu di atas kuburan, maka seolah-olah ia telah menghancurkan pintu kaabah-Ku dengan tangannya.’’

“Dan sesiapa tidak peduli dari sumber mana makanan yang dimakannya, maka ia tidak peduli dari pintu mana Allah masukkannya ke dalam Jahanam; dan sesiapa yang tidak bertambah dalam agamanya (ilmu dan pengalaman) maka sebenarnya ia semakin berkurang; dan sesiapa yang terus menerus merosot dan berkurang, maka mati adalah lebih baik baginya. Sesiapa yang mengamalkan sesuatu yang diketahuinya, Allah akan memberikannya ilmu yang belum pernah diketahuinya; dan sesiapa yang panjang angan-angannya, tidak ikhlas amalnya.’’

[Dipetik dari kitab Nasihat dan Bimbingan Hadis Qudsi oleh Imam Al-Ghazali…dimuatkan dalam Risalah Masjid ManBaeil Ulom.)


Mudah-mudahan kita mendapat manfaat dan pengajaran yang berguna dariNya.