Tuesday, August 10, 2010

Hormati Orang Lain Derma Diri Sendiri

(Alhamdulillah...insyaAllah Rabu 11/8/10 kita semua akan menjalani ibadat puasa...bulan yang amat dirindui oleh umat Islam. Jadi umi mengambil kesempatan mengucapkan selamat Berpuasa, mudah-mudahan puasa kita tahun ini bukanlah yang terakhir untuk kita.. )

di sini umi postkan artikel yang dikirimkan oleh sahabat umi. semoga kita semua mendapat manfaat dan pengajaran daripadanya.

Daripada Abu Dzar katanya: “Aku berkata kepada Rasulullah SAW: Pekerjaan manakah yang paling utama?” Jawab Rasulullah SAW: “Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah.”

Aku bertanya lagi: “Membebaskan sahaya manakah yang paling utama?” Jawab Baginda: ”Yang paling dikasihi oleh tuannya dan termahal harganya.”

Aku bertanya pula: “Jika saya tidak melakukan itu semua?” Jawab Baginda: ”Membimbing pembuat sesuatu, sedangkan orang itu tidak berkeahlian.”

Berkata Abu Dzar: ”Ya Rasulullah SAW terangkanlah kepada saya bagaimana jika saya tidak kuasa melakukan sesuatu pekerjaan?

Jawab Baginda: ”Jangan membuat bencana terhadap orang lain, kerana hal itu sebagai dermamu kepada dirimu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Semua orang mempunyai hak untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Jika semua hak ini dihormati, dunia akan selamat dan seluruh penghuninya akan bahagia, sekalipun tingkat kebahagiaan berbeza-beza.
Bagi insan beriman dan beramal salih, mereka sentiasa mencari jalan mendekatkan diri mereka kepada Allah kerana dengan cara itu mereka akan tenang dan bahagia. Bahkan, pembalasan syurga adalah idaman setiap manusia yang benar-benar menyedari akan hakikat kehidupan di dunia ini.

Namun, tidak semua manusia berupaya melakukan pengorbanan apatah lagi jika ia memerlukan keikhlasan dari hati yang benar-benar suci dan murni tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Tetapi, itulah yang paling bernilai di sisi Allah. Oleh itu, demi mengatasi kesulitan dalam menyempurnakan tanggungjawab selaku seorang Muslim supaya kehidupan terus menjadi aman dan bahagia, kita janganlah melakukan pekerjaan yang boleh mengganggu kesejahteraan orang lain.

Perbanyakkanlah melakukan kebajikan kerana inilah yang sebenar-benarnya ajaran agama kita yang menyuruh supaya menghormati semua orang, tidak mengganggu setiap hak orang lain sama ada hak peribadi, bermasyarakat hinggalah sampai kepada hak bernegara.

Apabila semua ini dilaksanakan dengan sebaiknya bukan saja seseorang itu disenangi, malah imej agama akan bersih daripada sebarang fitnah yang mencacatkan.

Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
BH 27 JUL 2006 * KHAMIS