Tuesday, December 22, 2009

BANYAK MAKAN MENGUATKAN NAFSU

Kelazimannya bagi meneruskan kehidupan didunia yang fana’ ini manusia memerlukan kepada makan dan minum. Justeru dengan pemakanan dan minuman ini akan memberikan kita tenaga untuk melakukan sebarang pekerjaan atau untuk aktiviti ibadah yang merupakan kewajiban bagi kita yang bernama Islam.

Allah SWT berfirman :


- Surah Al-Mukminun Ayat 51

“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang soleh’’.

Persoalannya bagaimanakah cara makan dan minum yang dituntut oleh syariat?.

Sesungguhnya seseorang yang makan berlebihan amatlah dicela dan dimurkai oleh Allah sWT. Di dalam keterangan hadis khususnya ada mengingatkan kita beberapa bahaya orang yang kuat makan di antaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Barang siapa yang kenyang dalam tidurnya nescaya keraslah hatinya’’.

Sabdanya lagi yang bermaksud:

“Tidak memenuhi kerajaan langit siapa yang memenuhi perutnya.’’

Begitulah Rasulullah memberi peringatkan agar kita tidak melampaui batasan kerana ia mendatangkan kesan yang tidak baik untuk tubuh badan kita dan juga masyarakat sekitar kita.

Makan dan minum yang keterlaluan yang berlebihan menjadikan kita bertambah malas, badan menjadi letih, melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh, serta kita mudah mengantuk kerana kekenyangan. Paling ditakuti hati menjadi keras kerana terlalu banyak makan dan minum serta kita menjadi malas untuk melakukan ibadat. Amatlah malang sekali bagi kita sekiranya perasaan malas untuk melakukan ibadat ada disebabkan terlampau kenyang.

Disamping menjadi malas, nafsu syahwat menjadi lebih subur dan kuat serta mendorong seseorang itu melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik serta lebih cenderung ke arah maksiat. Hati sentiasa digoda dan didorong idea yang tidak baik oleh syaitan agar menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan.

Hal ini pernah diceritakan oleh Lukman Al Hakim kepada anaknya:

“Wahai anakku! Jika perut menjadi penuh, fikiran akan tidur, kebijaksanaan akan menjadi bisu dan seluruh anggota malas untuk beribadah’’.
Seseorang yang terlampau kenyang boleh mendorong mereka melakukan kerja-kerja yang menyalahi hukum-hukum agama tetapi malas untuk melakukan ibadat. Inilah kebimbangan yang Rasulullah rasakan. Rasulullah sendiri makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang, juga Rasulullah sentiasa melaparkan perutnya untuk menundukkan nafsu makan yang keji itu.

Untuk membolehkan kita tekun beribadah dan meninggalkan maksiat sebaik-baiknya kita melaparkan perut sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Semulia-mulia kamu kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang paling lama berlapar dan bertafakur tentang Allah, dan yang paling dibenci antara kamu di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang paling banyak tidur, banyak makan dan minum.’’

Penawar bagi orang makan ialah dengan banyak berlapar kerana dengan itu dapat menjadi manusia yang taat kepada perintah Allah dan menjauhi segala rupa bentuk kejahatan dan maksiat.

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin diterangkan tentang faedah orang yang berlapar iaitu

Kejernihan hati, menyalakan bakat dan menajamkan bashirah. Kenyang menyebabkan kebodohan, membutakan hati, membanyak kabus dalam otak dan menjadikannya separuh mabuk hingga meliputi sumber-sumber fikiran menyebabkan hati berat mengalirkan perasaannya di dalam fikiran dan untuk menangkap dengan cepat. Abu Sulaiman AdDrani berkata:”Hendaklah engkau berlapar kerana ia menundukkan nafsu dan melembutkan hati dan mewariskan ilmu dari langit.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Hidupkanlah hati kamu dengan kurang ketawa dan kurang kenyang, dan sucikanlah ia dengan berlapar nescaya ia jernih dan lembut.’’

Dan lagi sabdanya:
Barangsiapa melaparkan perutnya nescaya besar fikirannya dan bijaksana hatinya.’’

“Sesungguhnya segala sesuatu itu ada zakatnya dan zakat tubuh badan ialah berlapar’’
.

Abu Yazid Al-Busthami berkata,
“lapar itu adalah seumpama awan, jika seorang hamba Allah merasa lapar nescaya hatinya menghujankan hikmah.’’

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Cahaya hikmah ialah lapar, dan kejahatan dari Allah ‘azza wajalla ialah kenyang, dan hampir kepada Allah ialah cintakan orang miskin serta mendekati mereka. Janganlah kamu kenyang kerana dengan kenyang kamu akan memadamkan cahaya hikmah dari hati kamu. Siapa yang tidur malam dalam keadaan ringan dari makanan nescaya bidadari tidur di sekelilingnya sehingga ke pagi.

Menundukkan nafsu serta menghilangkan perasaan bangga yang menjadi sumber kejahatan dan kelalaian dari mengingati Allah SWT. Nafsu tidak akan pecah berkecai dan tidak akan tunduk melainkan dengan kelaparan. Ketika lapar ia menjadi tenang menghadap Tuhannya dan terus menjadi lemah dan tunduk disebabkan tidak dapat menjamah makanan. Perut dan kemaluan adalah suatu daripada pintu-pintu neraka dan puncanya ialah kekenyangan. Menundukkan nafsu itu ialah satu daripada pintu-pintu syurga dan puncanya ialah berlapar.

Sesungguhnya orang yang kenyang itu selalunya lupakan orang yang lapar dan lupakan kelaparan. Hamba Allah yang bijaksana apabila menyaksikan sesuatu dugaan yang menimpa orang lain lantas ia teringat dugaan di hari akhirat, dan dengan dahaganya ia teringat akan kedahagaan makhluk di padang masyar, yang mana kelaparannya akan mengingatkan kelaparan orang-orang yang masuk neraka diberi makan kayu berduri dan buah zaqqum.

Sebesar-besar faedah dari berlapar ialah melemahkan setiap shahwat dan tenaga. Kerana sumber segala raja maksiat ialah kekuatan nafsu syahwat. Bahan tenaga kekuatan dan nafsu syahwat tentulah bermula dari makanan-makanan. Dan berkata Zun-Nun Al Misri: “Aku tidak pernah kenyang, kerana kalau kenyang aku melakukan maksiat.’’

Dengan berlapar jugak mengelakkan tidur dan sentiasa berjaga malam. Banyak tidur seperti mensia-siakan umur dan kehilangan sembahyang tahajjud dan mengeraskan hati. Secara tidak langsung tidur bererti mati dan perbuatan membanyakkannya bererti mengurangkan umur.

Makan sedikit amatlah berfaedah untuk kesihatan kerana setiap penyakit itu bermula dari perut.

Membolehkan seseorang itu mengingati akan anak-anak yatim serta bersedekah kepada mereka dengan makanan-makanan yang lebih dari yang diperlukan. Dan pada hari kiamat kelak ia berada di bawah lindungan bayang-bayang sedekahnya. Bersedekahlah dengan makanan-makanan yang lebih adalah lebih baik daripada menjadi gemuk dan kenyang.


Sumber: dari PENAWAR BAGI HATI