Thursday, February 25, 2010

Jiwa Beriman Tenang Hadapi Maut

Salah satu perkara yang menjadi rahsia Allah ke atas setiap manusia adalah mengenai bilakah mereka akan menemui ajal masing-masing atau kematian.

Manusia perlu ingat dan bersedia untuk menemui kematian kerana kematian pasti akan terjadi ke atas setiap jiwa. Ia dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati.” (Ali-'Imran, ayat 185).

Melalui ayat di atas, dapat difahami bahawa bukan hanya manusia saja akan menemui kematian, malah kematian itu akan terjadi ke atas setiap jiwa atau makhluk Allah dan hanya Allah sajalah bersifat kekal abadi.

Ia dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Semua yang ada di bumi itu akan binasa, dan akan tetap kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Surah al-Rahman, ayat 26-27).

Oleh kerana kematian itu sesuatu yang pasti seperti dijelaskan dalam ayat di atas, maka sewajarnyalah manusia bersedia menghadapinya kerana keadaan kematian amat memeritkan bagi mereka yang menghadapinya.

Gambaran ini dijelaskan oleh Saidina Umar yang bertanya kepada Kaab al-Ahbar. Saidina Umar bertanya: “Wahai Kaab, bolehkah kamu menggambarkan kematian kepadaku’’.

Kaab menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, perumpamaan kematian itu bagaikan seorang lelaki yang dipukul dengan sebatang pokok bidara (pokok yang penuh dengan duri tajam).”

Setiap duri akan masuk dan menusuk ke dalam urat saraf. Sebaik saja batang pokok itu ditarik dengan kuat, maka setiap duri yang melekat pada urat saraf itu akan tercabut bersama-sama urat itu.

Rasulullah mengingatkan bahawa ketika menghadapi sakratul maut, hendaklah seseorang itu membacakan doa supaya diringankan sakratul maut itu. Doa itu bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku menghadapi sakratul maut, Ya Allah ringankanlah sakratul maut yang aku hadapi ini.’’

Sebelum manusia menemui kematian, ruang kehidupan yang Allah kurniakan untuk beramal, kerana apabila kematian menjemputnya, tiada lagi.Saidina Ali pernah menyebut dunia ini akan ditinggalkan pergi sedangkan akhirat sedia menanti.

Hari ini adalah hari beramal bukan hari dihisab, sedangkan esok (akhirat) adalah hari dihisab bukan beramal.
Apabila kematian menjemput mereka, maka semua amalan mereka akan terputus melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak salih yang mendoakannya.

Ia dijelaskan dalam hadis, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat (berguna) atau anak yang salih yang sentiasa mendoakannya.’’ (Hadis riwayat Muslim).

Melalui hadis itu, tiga perkara ini akan terus membantu manusia yang menemui kematian dari segi ganjarannya walaupun mereka meninggalkan dunia yang fana ini. Oleh itu, setiap muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan tiga perkara yang sangat berguna kepada mereka, selepas hancur berkecai tubuh mereka dimamah kematian.

Ibn Kathir menjelaskan, pada suatu hari Umar Abdul Aziz melintasi sebuah perkuburan bersama kawannya, lalu berkata: “Wahai kematian, apakah yang kamu buat terhadap orang yang kami cintai dahulu? Di manakah kekasih kami itu? Di manakah kawan sepermainan dan teman-teman cerita kami dahulu. Wahai kematian, apakah yang telah kamu buat terhadap mereka?’’

Umar tiba-tiba menangis dan berkata kepada kawannya: “Tahukah kamu, apakah sebenarnya jawapannya? Mereka menjawab: Kami tidak tahu.’’

Umar berkata: “Ketahuilah, kematian itu menjawab: Aku memakan kedua-dua rahang dan kedua-dua biji mata mereka. Aku memisahkan kedua-dua telapak tangan dari pergelangan mereka. Aku memutuskan kedua-dua pergelangan dari siku mereka. Aku meleraikan kedua-dua lengan dari badan mereka.’’

Berdasarkan gambaran kematian di atas, dapat difahami bahawa kematian itu bukan hanya dengan tercabut nyawa seseorang, malah turut menghancurkan tubuh setiap insan. Oleh itu, manusia perlu ingat dan bersedia menghadapi kematian.

Ada tiga cara supaya seseorang itu sentiasa mengingati kematian.

[1] Hendaklah kita sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Apabila sampai di tanah perkuburan itu, kita cuba ingatkan di manakah tinggalnya orang kita sayangi dulu seperti datuk nenek, ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran tetangga. Mereka dulunya adalah orang kita menumpang manja, orang yang bersuka ria dan bersenda gurun dengan kita, Kini mereka tiada dan sudah pastinya akan sampai nanti giliran kita.

[2] Hendaklah kita membaca dan menghayati kitab Allah dan hadis Rasulullah kerana di dalamnya terdapat segala suruhan dan larangan yang perlu dipatuhi untuk menjadi insan bertakwa. Dengan adanya nilai ini, seseorang insan itu sudah pasti membawa bekalan terbaik untuk menemui kematian.

[3] Hendaklah kita sentiasa berkawan dengan orang yang salih, kerana mereka akan menjadikan kita orang yang ingatkan kepada kematian dan kehidupan akhirat.

Cara Mengingati Kematian

* Sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Apabila sampai di tanah perkuburan itu, kita cuba ingatkan di manakah tinggalnya orang kita sayangi dulu seperti datuk nenek, ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran tetangga.
* Membaca dan menghayati kitab Allah dan hadis Rasulullah kerana di dalamnya ada segala suruhan dan larangan yang perlu dipatuhi untuk menjadi insan bertakwa.
* Berkawan dengan orang yang salih, kerana mereka akan menjadikan kita orang yang ingatkan kepada kematian dan kehidupan akhirat.

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepemimpinan UKM.

BH 16 DIS 2006 * SABTU

1 comment:

  1. Mati jasad dah dok ingat ape-ape tapi hati mati..kena hudhur dan yakodho kan ia.

    ReplyDelete