Bersama Dr Juanda Jaya
Menurut riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Rasulullah SAW memberikan wasiat yang terakhir sebelum Baginda wafat dengan katanya yang bermaksud: “Sembahyang…., sembahyang… dan tunaikan kewajipan terhadap hamba yang kamu milik.”
Mengapa Rasulullah SAW masih mengingatkan sahabatnya mengenai sembahyang? Padahal mustahil di kalangan mereka ada yang melalaikan.
Maksud yang tersirat daripada kata-kata kekasih yang amat mengasihi umatnya itu sebenarnya terlalu mendalam.
Walau apa pun nama dan gelaran kita, kedudukan dan pangkat, tahap ilmu dan amal ibadat kita, hendaklah kita sentiasa perbaharui dan selidiki kesempurnaan sembahyang kita. Tidak semestinya seorang ulama lulus daripada ujian sembahyangnya.
Setiap manusia dicipta dengan potensi ‘kelalaian’ yang tidak pernah akan hilang daripada kehidupannya. Salah satu sifat orang beriman yang bijaksana adalah dia sentiasa berasakan dirinya lalai dan kurang sempurna. Berbahagialah bagi mereka yang masih ‘sedar diri’ di atas segala kelemahannya.
Selepas bertahun-tahun mengerjakan sembahyang, kadang-kadang kita berasa terlalu hebat hingga dapat menghabiskannya tidak sampai lima minit. Kerana terlalu mudah, ringan dan senang, akhirnya sikap mempermudah-mudah dan meremehkan sembahyang menjadi kebiasaan.
Padahal jika anda mendengar cerita Saidatina Aisyah: “Rasulullah SAW bersembang dengan kami, ketika datang waktu sembahyang, seolah-olah Baginda tidak mengenal kami dan kami pun tidak mengenal Baginda.” Anda akan mengerti betapa beratnya perkara sembahyang ini, yang merampas segala perhatian keluarga Rasulullah SAW daripada urusan duniawi.
Begitulah khusyuk yang diajarkan Baginda, langsung tidak mempedulikan dunia ketika waktu sembahyang datang. Mengapa pula kita berat sangat meninggalkan keindahan dunia yang sihir dan memukau?
Pernahkah anda berasa diperhambakan oleh kerjaya, perniagaan, isteri dan anak? Betapa tertekan hidup kita jika masa yang ada tidak cukup untuk menjaga segala yang kita miliki.
Berkejar ke sana ke mari kerana tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Hingga perasaan tertekan itu sampai ke kemuncaknya apabila urusan akhirat dilupakan, ketika Allah tiada lagi dirasai kehadirannya pada setiap pergerakan. Saat itu kita sebenarnya terlempar jauh dari orbit iman, melayang-layang di semesta kesibukan dunia yang mematikan hati dan perasaan sebagai hamba Allah.
Bersikap seimbang dan adil dalam setiap tindakan. Dunia dan akhirat kedua-duanya sama penting. Akhirat tidak akan dapat diraih jika dunia tidak digenggam. Telitilah setiap saat yang berlalu dalam sembahyang seperti kita meneliti buku kira-kira harta dan saham yang ada.
Apabila dalam dua jam berniaga mendapat keuntungan berlipat ganda, adakah anda pasti sembahyang yang tidak sampai 20 minit itu dapat memberatkan timbangan amal anda di akhirat?
Sungguh berat urusan sembahyang ini. Sahabat Rasulullah SAW menjaga sembahyang mereka melebihi penjagaan mereka terhadap harta dan dunianya. Sehingga Saidina Umar bin al-Khattab ketika ditikam hingga rebah berlumuran darah sewaktu sembahyang. Walaupun pelbagai ubat digunakan untuk menyedarkannya, tidak juga berhasil, akhirnya seorang sahabat menemukan ubat yang paling mujarab iaitu dengan satu kalimah saja.
Katanya: “Wahai Umar. Sudah datang waktu sembahyang.” Umar terus bangkit dan bertakbir tanpa mempedulikan sakitnya.
Bahkan, beliau pernah berpesan kepada sahabatnya: “Jika kalian melihat seseorang mempersiakan sembahyangnya, maka demi Allah pasti dia akan lebih menyia-nyiakan urusan yang lainnya.”
Ada beberapa tingkatan kesempurnaan sembahyang, iaitu: Orang yang sembahyang tetapi tidak sempurna, wuduknya, syarat dan rukunnya, hatinya lalai.
Orang yang sembahyang, sempurna wuduknya, syarat dan rukun tetapi dia terlalu was-was dalam hati sehingga mengganggu kekhusyukan sembahyangnya.
Orang yang sempurna wuduk, syarat dan rukun. Amat bermujahadah melawan perasaannya supaya terus-menerus khusyuk.
Orang yang bukan hanya sempurna ilmu sembahyangnya, malah mampu meletakkan hatinya di hadapan Allah, seolah-olah melihat-Nya, berasakan keagungan-Nya sehingga dinding pemisah di antaranya dengan Allah terangkat.
Komunikasi terjalin dan segala bentuk was-was musnah kerana ia terlalu sibuk bersama dengan Tuhannya. Tiada rasa takut kehilangan khusyuk, semuanya berjalan dengan lancar dan tiada gangguan lagi.
Peringkat ini akan dirasakan setiap hamba bergantung kepada ilmu dan mujahadahnya. Jika anda dulu pernah sampai pada peringkat keempat cubalah teliti hari ini mungkin anda sudah jatuh ke beberapa tangga, anda terpaksa mendaki lagi sehingga Allah reda dengan usaha kita.
BH 24 JUL 2006
Friday, February 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment