Friday, August 7, 2009

UJUB MENGUNDANG KESOMBONGAN

Tidak ada manusia yang ingin mencampakkan dirinya ke jurang neraka. Tidak ada manusia yang ingin dirinya ditimpa kehinaan. Tidak ada manusia yang seronok jika dirinya dibenci dan disisih.

Untuk menyelamatkan diri daripada terjerumus ke lembah kehinaan, maka kita mesti berwaspada dan menjauhi segala sifat terkeji serta menghiasi diri dengan bunga-bunga mahmudah yang keharumannya dapat memberi manfaat kepada diri dan juga orang lain.

Salah satu sifat terkeji ialah ujub. Ujub ertinya hairan pada kebolehan diri membuat ibadah dan amal kebajikan. Ia rasa setiap amalan yang dilakukan adalah merupakan kehebatan dirinya. Sehingga ia lupa akan Qudrat dan Iradah Allah. Ia lupa bahawa jika tidak diizinkan Allah, manusia ini tidak berupaya melakukan apa jua amalan pun.

Orang yang dihinggapi penyakit ujub ialah suka menyanjungi diri, suka memuji dan mensucikan diri sendiri dalam segala hal. Setiap apa yang dilakukan dirasakan dirinya seorang sahaja yang benar dan betul. Sekiranya di sampingnya ada orang lain yang lebih arif daripadanya, ia enggan bertanya, enggan meminta pandangan, bimbang kalau ianya akan mencabar kedudukan dan kewibawaannya. Jauh sekali untuk mendengar nasihat dan mengambil pengajaran daripada orang lain kerana merasakan tindak tanduknya itu sudah betul dan tepat.

Jangan sekali-kali kita merasakan diri sudah baik dan sempurna serta lebih hebat daripada orang lain. Merasa diri baik, sempurna, bersih daripada dosa dan noda serta hebat dengan amalan kebajikannya, sebenarnya merosakkan hati dan menambah mazmumah.

Pernah Siti Aisyah ditanya: “Wahai Aisyah, bilakah seseorang itu menjadi jahat?’’

Siti Aisyah menjawab, “Apabila ia menyangka ia telah berbuat baik.’’

Muthrif bin Abdullah bin Asy Syukhair, seorang tabi’in, berkata: “Aku lebih menyukai bermalam dengan tidur (tidak solat malam) dan dipaginya aku menyesal, daripada aku bermalam dengan bangun berdiri (solat malam) dan pagi-pagi aku merasa ujub (hairan diri dengan solat malam).’’

Orang yang ujub sebenarnya ia lupa menyandarkan setiap perbuatan dan amalannya itu kepada Allah. Seolan-olah segala aturan hidupnya dan gerak hati untuk melakukan kebaikan, datang daripada dirinya tanpa digerakkan oleh Allah.

Sedangkan hati ini hak Allah dan Allahlah yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-Nya. Kalau tidak dengan taufiq dan hidayah-Nya, kita tidak mungkin dapat melakukan segala kebaikan itu.

Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja keistimewaan yang ada pada hamba-hamba-Nya sekiranya Dia kehendaki. Daripada seorang yang rajin beribadah, Allah boleh putarkan ia menjadi seorang yang rajin berbuat maksiat. Daripada seorang yang bijak, boleh menjadi bebal, bodoh dalam sekelip mata. Daripada seorang hartawan, boleh menjadi papa kedana. Daripada seorang yang berketurunan mulia dan terhormat boleh menjadi hina. Daripada seorang yang cantik, boleh buruk dan hodoh rupanya.

Maka apalah yang hendak diujudkan dengan keistimewaan dan kehebatan yang ada pada diri kerana ia sementara dan tidak kekal. Segala-galanya akan hilang bila sampai masa dan ketikanya.

Sifat ujub hanya akan membinasakan diri, maka jauhilah sejauh-jauhnya agar tidak tertipu dengan anugerah Ilahi yang sementara sebagai pinjaman itu.

Sabda Rasulullah SAW:
“Tiga perkara yang membinasakan: kikir (kedekut) yang dituruti, hawa nafsu yang diikuti dan menghairani manusia dengan dirinya.”
- Riwayat At Tabrani.

Allah juga memberi peringatan dengan firmanNya yang bermaksud:
“Janganlah kamu melagak-lagakkan dirimu orang suci.’’
- An Najm: 32.

Untuk mengatasi diri daripada ujub bila melakukan amalan kebaikan dan kebajikan, maka hendaklah kita banyak-banyak mengucapkan:

‘’La haula wala kuwwatailla billah.”

(Tidak ada daya dan upaya aku, melainkan dengan izin Allah.)

Semoga ia mengingatkan kita bahawa kalau tidak dengan izin Allah, kita tidak akan dapat melakukan kebaikan itu. Dengan kata lain, amal kebajikan yang kita lakukan itu merupakan nikmat yang Allah kurniakan. Maka perlu apa kita merasa ujub dengannya.

Juga, untuk mengelakkan diri daripada merasa ujub, kita rasakan terlalu sedikit amal dan kebaikan yang kita lakukan berbanding dengan begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Ibnu Juraij mengatakan:

“Apabila kamu berbuat kebajikan maka janganlah kamu mengatakan ‘aku telah berbuat’’.
Jangan sekali-kali merasakan setiap kejayaan yang ditempuhi hasil daripada usaha diri sendiri tetapi sandarkanlah itu semua kepada Allah. Rasakanlah bahawa Allah mencurahkan nikmat yang melimpah ruah kepada kita itu kerana sifat Rahman dan Rahim yang tersedia ada pada Allah, bukan kerana kehebatan yang ada pada diri kita.

Katakanlah seorang itu telah mendapat taufiq Allah dan dapat melakukan ibadah. Tanyakan kenapa ia beribadah? Mungkin ia akan menjawab,Katakanlah seorang itu telah mendapat taufiq Allah dan dapat melakukan ibadah. Tanyakan kenapa ia beribadah? Mungkin ia akan menjawab, ‘’kerana kecintaan aku pada Allah’’.

Sudah tentulah bila kita kembalikan semua itu kepada Allah, maka lahirlah dalam hati rasa lemahnya diri, rasa kurang, rasa bergantung kepada Allah. Sifat kehambaan akan berbunga dan tumbuh di sanubari.

Akhirnya, untuk menyelamatkan diri daripada ujub, janganlah merasa cukup dan puas dengan setiap amalan, tetapi mohonlah kepada Allah agar dikurniakan hati yang ikhlas dengan amal itu dengan rasa kehambaan menebal di hati.

No comments:

Post a Comment