1. Carilah manisnya amal dalam tiga perkara. Kalau kamu telah mendapatkannya, maka bergembiralah dan teruslah mencapai tujuan dan jika kamu belum mendapatkannya maka ketahuilah pintu masih tertutup rapat. Tiga perkara itu ialah:
a. ketika kamu membaca al-Quran. b. Ketika kamu berzikir dan c. Ketika kamu bersujud. 2. Siksa bagi orang alim itu matinya hati. Ketika beliau ditanya; bagaimana matinya hati itu?” beliau menjawab: “Mencari dunia dengan amal akhirat.’’
3. Tuntutlah ilmu, tapi tidak melupakan ibadah. Dan kerjakanlah ibadah, tapi tidak boleh lupa pda ilmu.
4. Engkau akan mati dan semuanya akan engkau tinggalkan. Hartamu nanti akan dibahagi-bahagikan kepada ahli warismu yang akan saling cakar-mencakar termasuk kepada isterimu yang masih muda belia, ia akan kahwin lagi dengan orang lain. Jadi kekayaan itu kelak hanya menjadi milik calon suaminya yang baru.
5. Barang siapa mendoakan orang zalim agar panjang umurnya, maka ia telah mencintai maksiat kepada Allah SWT, yang terus berlangsung di muka bumi.
6. Setiap orang solat yang hatinya lalai dan lengah, maka hal yang demikian itu adalah lebih cepat mendapat siksa.
7. Memutuskan silaturahim dengan orang fasik, adalah cara mendekatkan diri kepada Allah Swt.
8. Tanda seorang muslim ialah kuat dalam memegang agama, keras hati tetapi disertai dengan lemah lembut, beriman dengan menggunakan keyakinan, berpengetahuan disertai penuh kesabaran, berfikiran panjang disertai kasih sayang, memberikan mana yang hak kepada orang lain dan mengikuti jalan yang benar, bersikap sederhana meskipun kaya, menunjukkan kebaikan (kecukupan) sekalipun dalam kekurangan (miskin), berbuat baik selagi masih berkusa melakukan, menanggung segala penderitaan dengan berusaha menghilangkannya, selalu bersabar dalam kesulitan, tidak dikuasai perasaan marah, tidak sombong, membela pada yang hak, tidak tunduk kepada nafsu syahwat, tidak tamak haloba dan bercita-cita tinggi. Ia suka menolong orang yang teraniaya, belas kasihan kepada yang lemah, tidak kedekut dan boros, tidak membazir dan tidak keterlaluan dalam menggenggam hartanya. Suka memaafkan jika dizalimi dan terhadap orang yang menyakitinya. Tabah dan sanggup berkorban demi kebahagiaan orang ramai dan berkecukupan dengan sikapnya sedemikian.
9. Berjabat tangan mengeratkan rasa kasih sayang.
10. Barang siapa yang mengajakmu berlumba-lumba dengan aagma, maka turutilah dia dan barang siapa yang mengajakmu berlumba-lumba dengan dunia, maka lemparkanlah dunia itu ke lehernya.
11. Allah mengasihi kaum yang mengganggap dunia sebagai simpanan. Lalu mereka menyerahkannya kepada orang yang sanggup memegang amanat mereka terhadap barang simpanan tersebut. Kemudian mereka merasa senang dengan ringannya beban.
12. Kasihan sekali manusia yang menyukai harta, yang halalnya diperhitungkan dan haramnya diazab. Kalau yang halal diambilnya, nescaya ia diazabkan. Manusia itu berdiri sendiri (bebas) dengan hartanya dan tidak bebas dengan amal perbuatannya. Ia gembira jika malapetaka menimpa agamanya dan berduka jika malapetaka menimpa dunianya.
13. Manusia pasti mengalami tiga kerugian: a) tidak merasa kenyang dari barang yang dikumpulkannya. b) Tidak memperolehi apa yang diangan-angankan. c) Tidak mendapat bekalan yang baik dari perjalanan yang ditempuhinya.
Tidak ada manusia yang ingin mencampakkan dirinya ke jurang neraka. Tidak ada manusia yang ingin dirinya ditimpa kehinaan. Tidak ada manusia yang seronok jika dirinya dibenci dan disisih.
Untuk menyelamatkan diri daripada terjerumus ke lembah kehinaan, maka kita mesti berwaspada dan menjauhi segala sifat terkeji serta menghiasi diri dengan bunga-bunga mahmudah yang keharumannya dapat memberi manfaat kepada diri dan juga orang lain.
Salah satu sifat terkeji ialah ujub. Ujub ertinya hairan pada kebolehan diri membuat ibadah dan amal kebajikan. Ia rasa setiap amalan yang dilakukan adalah merupakan kehebatan dirinya. Sehingga ia lupa akan Qudrat dan Iradah Allah. Ia lupa bahawa jika tidak diizinkan Allah, manusia ini tidak berupaya melakukan apa jua amalan pun.
Orang yang dihinggapi penyakit ujub ialah suka menyanjungi diri, suka memuji dan mensucikan diri sendiri dalam segala hal. Setiap apa yang dilakukan dirasakan dirinya seorang sahaja yang benar dan betul. Sekiranya di sampingnya ada orang lain yang lebih arif daripadanya, ia enggan bertanya, enggan meminta pandangan, bimbang kalau ianya akan mencabar kedudukan dan kewibawaannya. Jauh sekali untuk mendengar nasihat dan mengambil pengajaran daripada orang lain kerana merasakan tindak tanduknya itu sudah betul dan tepat.
Jangan sekali-kali kita merasakan diri sudah baik dan sempurna serta lebih hebat daripada orang lain. Merasa diri baik, sempurna, bersih daripada dosa dan noda serta hebat dengan amalan kebajikannya, sebenarnya merosakkan hati dan menambah mazmumah.
Pernah Siti Aisyah ditanya: “Wahai Aisyah, bilakah seseorang itu menjadi jahat?’’
Siti Aisyah menjawab, “Apabila ia menyangka ia telah berbuat baik.’’
Muthrif bin Abdullah bin Asy Syukhair, seorang tabi’in, berkata: “Aku lebih menyukai bermalam dengan tidur (tidak solat malam) dan dipaginya aku menyesal, daripada aku bermalam dengan bangun berdiri (solat malam) dan pagi-pagi aku merasa ujub (hairan diri dengan solat malam).’’
Orang yang ujub sebenarnya ia lupa menyandarkan setiap perbuatan dan amalannya itu kepada Allah. Seolan-olah segala aturan hidupnya dan gerak hati untuk melakukan kebaikan, datang daripada dirinya tanpa digerakkan oleh Allah.
Sedangkan hati ini hak Allah dan Allahlah yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-Nya. Kalau tidak dengan taufiq dan hidayah-Nya, kita tidak mungkin dapat melakukan segala kebaikan itu.
Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja keistimewaan yang ada pada hamba-hamba-Nya sekiranya Dia kehendaki. Daripada seorang yang rajin beribadah, Allah boleh putarkan ia menjadi seorang yang rajin berbuat maksiat. Daripada seorang yang bijak, boleh menjadi bebal, bodoh dalam sekelip mata. Daripada seorang hartawan, boleh menjadi papa kedana. Daripada seorang yang berketurunan mulia dan terhormat boleh menjadi hina. Daripada seorang yang cantik, boleh buruk dan hodoh rupanya.
Maka apalah yang hendak diujudkan dengan keistimewaan dan kehebatan yang ada pada diri kerana ia sementara dan tidak kekal. Segala-galanya akan hilang bila sampai masa dan ketikanya.
Sifat ujub hanya akan membinasakan diri, maka jauhilah sejauh-jauhnya agar tidak tertipu dengan anugerah Ilahi yang sementara sebagai pinjaman itu.
Sabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara yang membinasakan: kikir (kedekut) yang dituruti, hawa nafsu yang diikuti dan menghairani manusia dengan dirinya.” - Riwayat At Tabrani.
Allah juga memberi peringatan dengan firmanNya yang bermaksud: “Janganlah kamu melagak-lagakkan dirimu orang suci.’’ - An Najm: 32.
Untuk mengatasi diri daripada ujub bila melakukan amalan kebaikan dan kebajikan, maka hendaklah kita banyak-banyak mengucapkan:
‘’La haula wala kuwwatailla billah.”
(Tidak ada daya dan upaya aku, melainkan dengan izin Allah.)
Semoga ia mengingatkan kita bahawa kalau tidak dengan izin Allah, kita tidak akan dapat melakukan kebaikan itu. Dengan kata lain, amal kebajikan yang kita lakukan itu merupakan nikmat yang Allah kurniakan. Maka perlu apa kita merasa ujub dengannya.
Juga, untuk mengelakkan diri daripada merasa ujub, kita rasakan terlalu sedikit amal dan kebaikan yang kita lakukan berbanding dengan begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Ibnu Juraij mengatakan:
“Apabila kamu berbuat kebajikan maka janganlah kamu mengatakan ‘aku telah berbuat’’. Jangan sekali-kali merasakan setiap kejayaan yang ditempuhi hasil daripada usaha diri sendiri tetapi sandarkanlah itu semua kepada Allah. Rasakanlah bahawa Allah mencurahkan nikmat yang melimpah ruah kepada kita itu kerana sifat Rahman dan Rahim yang tersedia ada pada Allah, bukan kerana kehebatan yang ada pada diri kita.
Katakanlah seorang itu telah mendapat taufiq Allah dan dapat melakukan ibadah. Tanyakan kenapa ia beribadah? Mungkin ia akan menjawab,Katakanlah seorang itu telah mendapat taufiq Allah dan dapat melakukan ibadah. Tanyakan kenapa ia beribadah? Mungkin ia akan menjawab, ‘’kerana kecintaan aku pada Allah’’.
Sudah tentulah bila kita kembalikan semua itu kepada Allah, maka lahirlah dalam hati rasa lemahnya diri, rasa kurang, rasa bergantung kepada Allah. Sifat kehambaan akan berbunga dan tumbuh di sanubari.
Akhirnya, untuk menyelamatkan diri daripada ujub, janganlah merasa cukup dan puas dengan setiap amalan, tetapi mohonlah kepada Allah agar dikurniakan hati yang ikhlas dengan amal itu dengan rasa kehambaan menebal di hati.
Apabila seseorang wanita menjangkau usia 50 hingga 60 tahun, kedtanganhaid terhenti dan dia mula mengalami proses ketuaan. Kulit badannya akan mula mengecut, badan terasa sengal-sengal dan berbagai-bagai perasaan menghantui fikiran.
Ada pula yang merasa hilang harga diri, menjadi pemberang dan cemburu tidak bersebab. Malah sebilangan wanita cuba menafikan diri sudah tua lalu bergaya lebih daripada orang muda. Hal ini lumrah di kalangan wanita barat.
Mengapa mereka begitu ghairah mengejar kecantikan? Apakah kerana belum puas hidup dalam dunai muda di samping ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka masih mampu untuk menggoda lelaki sama seperti wanita muda lainnya. Dunia orang tua di negara barat amat mengerikan; hidup terbiar tanpa dipedulikan oleh anak-anak. Lantaran itulah ramai yang amat takut untuk menempuh alam ini sebaiknya berusaha sedaya upaya agar sentiasa cantik dan muda.
Bagi wanita beriman, tiada detik-detik hitam dalam menempuh hari tua. Mereka akan tetap kemas dan bergaya sepadan dengan usia dan tidak melampaui batas yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Jarang sekali kita dengar suami isteri bercerai disebabkan si isteri putus haid. Sebaliknya hikmah dari proses ini akan mengalihkan diri seseorang wanita daripada terus mencintai dunia kepada cintakan hari akhirat yang kekal dan abadi. Malah era ini mengingatkan mereka betapa hampirnya hari untuk mengadap Allah SWT. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Bukankah kami telah memberi kamu usia yang cukup, di mana setiap orang yang mahu mengingat sudah dapat mengambil peringatan dan sudah pula tiba kepada kamu orang yang memberi peringatan.’’ – Al Fathir: 37.
Bagi yang telah mendapat taufik dan hidayah, peringkat umur sebeginilah dia akan lebih cenderung untuk kembali kepada Allah Taala, melipatgandakan ibadah dan berala- kadar dengan nikmat dunia. Jiwanya akan sentiasa terdorong untuk mengerjakan kebaikan dan bertaubat daripada segala dosa.
Bagi isteri yang beriman, meskipun wajahnya tidak seayu dulu namun kesungguhan dalam melayan makan minum suami dan peralatan lainnya tetap tidak berubah. Kerana keyakinannya bahawa tugas melayan suami adalah sangat tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Kewajipan melayan suami bukannya terhad pada waktu muda sahaja sebaliknya akan terus berlanjutan sehingga si isteri menutup mata.
Cinta sepasang suami isteri tua yang beriman amat unik sekali. Apabila lama berpisah, masing-masing akan resah gelisah. Si isteri bimbangkan kesihatan suami manakala si suami rindukan masakan isteri. Tidak hairanlah kalau suami memuji kerajinan dan keenakan masakan isteri di hadapan anak menantunya. Jangan sedih apabila kita lebih cepat menempuh proses tua berbanding dengan lelaki. Allah itu Maha mengetahui akan sifat-sifat hambaNya. Wanita sedia maklum lemahnya, tambahan pula apabila terlalu kerap bersalin menyebabkan banyak urat di badannya yang putus dan banyak darah yang tumpah. Kesan dari itu, kesihatannya agak terjejas dan mudah di serang penyakit lemah-lemah badan, dan keupayaannya menyaingi tenaga lelaki amat terbatas sekali.
Oleh itu terimalah anugerah Allah ini dengan tangan terbuka dan jangan ditolak dengan melakukan berbagai-bagai kemungkaran. Orang tua apabila banyak buat maksiat akan dipandang hina di dunia lagi. Di akhirat kelak Allah tidak sudi memandangnya lagi. Diriwayatkan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “Telah berfirman Allah Taala: Demi Kemuliaan-Ku dan Kebesaran-Ku dan keperluan sekelian makhluk-Ku kepada-Ku, sesungguhnya Aku berasa malu terhadap hamba-Ku, baik lelaki atau wanita, yang telah mencapai umur tua di dalam Islam untuk Aku menyeksa mereka pula.’’
Kemudian Rasulullah SAW menangis. Lalu dikatakan kepadanya; Apa sebab engkau menangis, duhai Rasulullah? Jawab baginda: “Aku menangiskan orang tua yang Tuhan malu kepadanya, sedangkan dia tidak malu dengan Allah Taala.’’
Umur umat Nabi Muhammad SAW terlalu pendek jika dibandingkan dengan umur umat-umat lain. Pernah Rasulullah berdoa seraya bertanyakan kepada Allah SWT mengapa umur umatnya dipendekkan begitu sekali sehingga mereka tiada kesempatan untuk mempertingkatkan amal ibadah dan mengaut sebanyak-banyak pahala, di samping memperolehi darjah yang tertinggi di sisi Allah SWT.
Maka Allah menganugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW ‘lailatulqadar’ iaitu malam yang lebih utama daripada 1,000 bulan. Semoga dengan kelebihan itu menjadi pengganti kepada umur mereka yang pendek itu untuk menambah pahala serta kebajikan.
Sekali seseorang itu bangun malam dan mengerjakan ibadah pada malam lailatulqadar, seolah-olahnya di bangun beramal 83 tahun. Jadi, jika dia berjaya bangun beramal pada setiap malam tersebut selama sepuluh tahun, maka taraf ketaatannya kepada Allah sama dengan pahala orang yang beramal hampir seribu tahun lamanya. Itulah kurniaan Allah yang teramat besar kepada umat Nabi Muhammad SAW yang tidak diberi kepada umat-umat lain, berkat doa dan kemuliaan baginda Rasulullah SAW.
Oleh itu hargailah pemberian Allah ini dengan berbanyak-banyak mengucapkan syukur kepadaNya. Selain itu, berdoalah selalu agar kita dijauhkan daripada menjadi orang tua yang nyanyuk. Rasulullah SAW sering meminta perlindungan dari Allah SWT dalam doanya yang bererti:
“Dan aku berlindung kepada-Mu dari disampaikan kepada umur nyanyuk.’’ Bahawa setiap wanita yang telah putus haidnya akan dikurniakan Allah cahaya ketenangan dan lebih khusyuk beribadah disebabkan nafsu cintanya telah menurun.
Menurut riwayat Abu Daud dan An Nasai, Nabi SAW bersabda kepada Muaz ujarnya: “Ya Muaz, janganlah kiranya engkau tinggalkan membaca doa ini di tiap-tiap kali selesainya sembahyang, iaitu:
Allahumma a’ainni a’ala zikri ka washukrika wa husnu ibadatik..
“Ertinya: “Ya Tuhanku, tolonglah aku untuk menyebut-Mu, mensyukuri-Mu dan membaguskan ibadah kepada-Mu.’’
Kenapa agaknya Rasulullah menyebut lafaz zikir ini kepada Muaz? Untuk apa zikir ini menjadi utama sehingga Rasulullah begitu mengharapkan agar Sayidina Muaz mengutamakannya pada setiap kali selesai sembahyang dan kalau boleh jangan tinggalkan? Dan apa pula kesannya pada individu setelah ianya diutamakan? Mari kita sama-sama mengkajinya.
Rasulullah S.A.W bersabda kepada Muaz memberitahu tentang zikir ini dan menyuruh mengamalkannya, bererti saranan itu juga tertuju kepada kita umatnya diakhir zaman ini. Saiyidina Muaz merupakan sahabat terdekat dengan Rasulullah dan sangat banyak meriwayatkan Hadis. Beliau seorang yang sentiasa bersedia menerima ilmu dan mengamalkan ilmu yang diterimanya. Hingga terkenal dalam sejarah sahabat yang banyak menangis bila menyebut akhirat dan seksa Neraka.
Untuk saiyidina Muaz yang kuat ibadat dan kuat berjuang itu, Rasulullah bekalkan doa ini sebagai senjata sekaligus sebagai ubat padanya. Doa tersebut memberi panduan untuk merendah diri kepada Allah, supaya menjadi orang yang suka menyebut, mensyukuri dan beribadah kepada Allah. Kita juga patut mengikutinya untuk menjadi hamba yang benar-benar mengabdikan diri kepadaNya.
Di antara fadhilat dan keutamaan mengamalkan dan memperbanyakkan zikir ini ialah:
1. Menanam rasa kehambaan.
Pada saat-saat kita selesai mengerjakan ibadah, apa saja untuk bentuk ibadah yang kita buat ( sembahyang, puasa, zikir dan lain-lain), mestilah dirasakan dihati bahawa apa yang kita buat itu adalah gerakan dari Allah, bukan kuasa kita. Zikir yang diajar oleh Rasulullah itu sebagai bukti kita merendah diri kepada Allah.
Kita merasakan bahawa dengan izin Allah kita dapat menyebut Allah, dapat mensyukuriNya dan menyempurnakan ibadah dengan baik. Hati akan memuja dan memuji Allah dengan berkata:
“Engkaulah yang punya segala-galanya. Kalau engkau tidak memberi hal itu semua padaku hakikatnya aku hambaMu yang lemah ini tidak punya apa-apa. Untuk mengerdipkan kelopak mata pun aku tidak mampu, apatah lagi menggerakkan kepada dan gerakan-gerakan lebih besar daripada itu. Terutamanya yang paling besar dan berat ialah untuk menggerakkan hati untuk semata-mata mengingatiMu. Jadi untuk apa aku berbangga dengan ibadahku sedangkan segala-galanya daripada-Mu. Engkau yang menggerakkan urat sendi, engkau menggerakkan anggota kepala dan akal. Engkau yang menggerakkan jantung dan hati untuk sentiasa berzikir kepada-Mu.’’
2. Meningkatkan rasa syukur
Jika benar-benar dihayati zikir ini, diri dan hatinya dilatih untuk bersyukur dan memuja dan memuji Allah. “Aku bersyukur kepadaMu di atas nikmat-nikmat yang banyak terutama dalam beribadah kepada-Mu, bukan untuk sembahyang saja, aku bersyukur kepadaMu tapi syukur untuk segala-gala yang Engkau kurniakan kepadaku. Di waktu-waktu lepas sembahyang selalunya engkau begitu hampir dengan hamba-Mu dapat berdialog dengan-Mu, lantas di waktu inilah aku banyak meminta kepada-Mu dan mensyukuri-Mu.
3. Allah akan sempurnakan ibadah sembahyang kita.
Ertinya, setelah kita beribadah, kita menyerahkannya kepada Allah. Dengan rahmat kasih sayang Allah, Allah cantikkan dan sempurnakan ibadah kita. Kita serahkan diri kepada Allah dan mengharapkan agar Allah menerima ibadah kita sebagai ibadah yang sempurna. Hati berkata: “selepas aku serahkan diri kepada-Mu dengan ibadah (persembahan) yang tidak seberapa ini, aku harapkan Engkau saja yang dapat mencantikkan atau memperbaiki seluruh ibadahku.’’
Jadi kembali kita kenapa agaknya Rasul menyuruh Sayidina Muaz melafazkan zikir itu? Ya, kerana terlalu besarnya pengertian dan kelebihan zikir itu. Dalam zikir tersebut sekaligus ada doa supaya sentiasa mengingati Allah, syukur kepada-Nya dan dapat menyempurnakan ibadah dengan baik serta memiliki akhlak yang mulia. Ketiga-tiga perkara inilah sebenarnya yang dituntut keapda orang yang mahu mencari keredhaan Allah. Untuk mencapai taraf orang bertakwa mesti ada ketiga-tiga sifat yang disebutkan dalam zikir itu.
Kekuatan perasaan manusia untuk dapat menghayati segala sesuatu tidak sama, jadi Rasulullah ajarkan zikir supaya semuanya mendapat keutamaan dan keberkatan daripada zikir ini. Melazimkan diri dengan zikir ini ertinya kita sentiasa merasa lemah dan serba kekurangan, jadi tidak sempatlah kita hendak berbangga dengan apa yang ada dan ibadah yang dilakukan.
Kita perlu meminta kepada Allah supaya menjadi orang yang banyak bersyukur kerana terlalu susahnya untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur. Hingga Allah menyatakan dalam AlQuran terlalu sedikit hamba-Ku yang bersyukur. Jadi wajar sangatlah kita berdoa dan berharap kepada Allah supaya menjadikan kita orang yang banyak bersyukur.
Itulah sebab Rasulullah SAW menyuruh Sayidina Muaz membaca kalimah ini. Terlalu besar pengertiannya dan kelebihannya.
Jadi untuk mendapatkan keistimewaan itu kita juga patut mengamalkannya dengan istiqamah (berterusan). Supaya kita akan menjadi orang yang banyak mengingati dan menyebut Allah. Seterusnya menjadi orang yang banyak bersyukur dan memuji Allah. Kemudian menjadi orang yang sungguh-sungguh menyempurnakan dan memperbaiki ibadah dari masa ke semasa. Seterusnya kita menjadi orang yang suka mengikut sunnah dan amalan para sahabat.
Oleh Tengku Noriah Tengku Abdullah. (Petikan dari Laman Majalah)