Wednesday, November 10, 2010

Keutamaan Dan Kepentingan Hati

(Untuk seterusnya umi postkan artikel kiriman sahabat UMI untuk dimanfaatkan bersama....Terima kasih tak terhingga untuk sahabat)

Rahsia penawar hati

Hati dinamakan qalbu kerana berubah–ubahnya : “Tidak dinamakan qalbu melainkan kerana berubah–ubahnya. Dan pendapat memalingkan manusia…Tahap demi tahap.”Sebagaimana sabda Nabi s.a.w : “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ini ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah anggota tubuh seluruhnya dan jika ia rosak, maka rosaklah anggota tubuh seluruhnya : Itulah hati.”

Hati memiliki keutamaan – keutamaan, keistimewaan – keistimewaan, dan kepentingannya antara lain :

1) Hati menerima ilham Ilahi

Nas–nas syariat telah menjelaskan bahawa Allah S.W.T memperlakukan hati manusia bagaimana sahaja Dia menghendaki.sebab Allah S.W.T membatasi antara manusia dengan hatinya : “Dan ketahuilah sesungguhnya Allah membatasi antara seseorang dengan hambanya.” (Al Anfal:24)Allah S.W.T meneguhkan hati orang–orang yang beriman hingga mereka bersabar : “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka pada waktu mereka berdiri, lalu mereka berkata, “ Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi’.” (Al Kahfi : 14) Allah memasukkan dalam hati para musuh rasa ketakutan : “Dan Allah memasukkan rasa ketakutan dalam hati mereka.”( Al Hasyr : 2)

2). Hati adalah sandaran taklif
Hati merupakan pusat perhatian Allah S.W.T. Nabi s.a.w telah memberitahu : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kamu dan tidak pula kepada rupa– rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu,” sambil menunjuk dengan jari – jarinya ke dadanya yang mulia.

3). Hati yang beroleh hidayah diberi pahala yang besar

Hati yang beroleh petunjuk, di dalamnya terdapat cahaya – cahaya dan hujah – hujah yang diberikan Allah kepada hamba yang dikehendakiNya. Ilmu itu juga adalah cahaya dan ia akan memasuki hati yang bersih. Perkara yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Nya akan masuk dan melekat dalam hati seseorang hamba tersebut. Selain itu, terdapat juga firasat dan mimpi yang benar.

4). Dorongan hati terkadang menyelamatkan dan terkadang membinasakan

Adakalanya di dalam hati manusia terdapat tarikan yang mulia dan tarikan yang merosak. Qaswah ( hati yang keras ) antara tarikan hati yang merosak. Apabila ia berlaku pada hati seorang wanita, maka ia celaka. Nabi s.a.w memberitahu : “Seorang wanita dari Bani Israil masuk neraka kerana kucing miliknya yang dia ikat dan tidak memberinya makan atau membiarkannya makan dari sisa–sisa yang ada di tanah.

”Sementara dalam hati wanita lainnya ada tarikan kasih sayang. Nabi telah memberitahu : “Seorang wanita pelacur melihat anjing pada suatu hari yang terik, mengelilingi perigi dengan menjulur–julurkan lidahnya kerana kehausan, lalu wanita itu melepas kasutnya ( untuk diisi air ) lalu diminumkan kepada anjing itu, maka Allah mengampuninya.”

5. Hati yang baik kunci kebaikan individu dan masyarakat

Kualiti itu ada dua perkara : fizikal dan rohani. Adapun baiknya fizikal, jika hati seseorang itu baik, maka badannya akan menjadi baik pula. Sekiranya baik rohani seseorang, maka baiknya hati akan diiringi dengan melaksanakan hak–hak Allah dengan sebaiknya seperti sembahyang, menegakkan jihad dan menyebarkan dakwah. Amalan–amalan hati adalah ibadah-ibadah yang hanya dimiliki oleh kaum muslimin.

Nabi s.a.w bersabda : “Ada tiga perkara yang kerananya dalam hati muslim tidak ada kedengkian: ikhlas beramal kerana Allah, menasihati para pemimpin, dan sentiasa berada dalam jemaah kaum muslimin ; kerana sesungguhnya dakwah mereka itu meliputi mereka.

Monday, September 27, 2010

Enam Amalan Tingkat Keimanan


JIWA tenang, keluarga bahagia nikmat terbesar dikecapi mukmin. Nikmat terbesar dikecapi umat Islam ialah menjadi orang beriman kerana tidak akan ada kepercayaan yang diterima di sisi Allah selain daripada kepercayaan agama Islam dan tidak akan ada lagi nabi selain daripada Nabi Muhammad.

Namun, di kalangan orang beriman itu ada pula di kalangan mereka yang beruntung. Keuntungan mereka itu disebabkan oleh beberapa perkara seperti dijelaskan dalam surah al-Mukminun, ayat 1-9 bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tiada berguna. Dan orang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka mereka dalam hal ini tiada tercela, barang sesiapa yang mencari yang sebaliknya, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat yang dipikulnya dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya.

Dalam ayat itu dapat difahami ada enam perkara dilakukan oleh orang mukmin akan menyebabkan mereka menjadi orang beruntung.

01] Mereka adalah orang mukmin yang khusyuk solatnya. Ali Abi Talib menjelaskan khusyuk itu adalah kekhusyukkan hati.

Penjelasan Ali ini diperkuatkan oleh Hassan al-Basri yang menjelaskan bahawa kekhusyukkan mereka itu berada di dalam hati mereka sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri.

Khusyuk dalam solat hanya akan dapat dilakukan orang memfokuskan hati padanya dengan melupakan pelbagai aktiviti selain mengerjakan solat itu semata-mata serta mengutamakan solat ke atas aktiviti yang lain.

Pada saat itulah akan terwujudnya ketenangan dan kebahagiaan baginya seperti dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda:

“Diberikan kepadaku kecintaan terhadap yang baik dan terhadap wanita, dan dijadikan solat untukku sebagai amalan yang paling menyenangkan (Hadis riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai),”

02] Orang mukmin menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan percakapan yang tidak berguna seperti dari perbuatan batil, syirik, maksiat dan yang tidak membawa faedah untuk dirinya seperti dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 72 bermaksud:

“Dan apabila mereka bertemu dengan (orang) mengerjakan perbuatan tidak berfaedah, mereka lalu (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.”

03] Orang mukmin menunaikan zakat kerana pada harta dimiliki oleh seseorang itu ada hak orang lain perlu dilunaskan. Ia dijelaskan Allah dalam surah al-An'am, ayat 141 bermaksud:

“Dan keluarkan haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya. Dijelaskan juga dalam ayat lain dengan mengeluarkan zakat itu dapat menyucikan jiwa seseorang mukmin.”

Ia dijelaskan Allah dalam firman-Nya dalam surah As-Syam, ayat 9-10 bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang mengotorinya.”

04] Orang mukmin memelihara kemaluannya daripada perkara haram dengan tidak terjerumus dalam hal yang dilarang Allah sama ada dalam perzinaan dan homoseksual.

Mereka tidak akan mendekati seseorang melainkan isteri mereka sendiri dihalalkan oleh Allah. Malah Imam Shafie menggunakan ayat ini juga untuk mengharamkan onani.

05] Orang mukmin memelihara amanah diberikan dan janji dijanjikan. Mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin apabila diberi tugas untuk dipikulnya dan tidak terlintas dalam hati sanubarinya untuk mengkhianati amanah itu. Dan jika mereka berjanji atau melakukan akad perjanjian, mereka akan menepatinya, tidaklah mereka ini seperti orang munafik.

06] Orang mukmin memelihara solatnya dengan melaksanakannya tepat pada waktunya. Ibn Mas'ud pernah bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, apakah amal perbuatan disukai Allah? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Lalu apa lagi, tanyaku. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua orang tua. Kemudian
apa lagi, tanyaku: Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Melalui enam perkara itu akan membezakan antara keuntungan seseorang mukmin dengan mukmin lain. Ia bererti, tidak semua orang mukmin beruntung.

Hasil amalan itu, mereka akan ditempatkan oleh Allah dalam syurga Firdaus. Ia dijelas Allah juga dalam surah al-Mukminun, ayat 10-11 bermaksud: “Mereka itulah orang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”

Rasulullah mengajar kepada umat Islam, sekiranya ingin memohon syurga Allah, maka mintalah syurga. Ia dijelaskan dalam hadis yang Rasulullah bersabda: “Jika kamu meminta syurga Allah, maka mintalah syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling tinggi dan paling tengah. Darinya terpancar sungai-sungai syurga dan di atasnya ada Arasy Rabb yang Maha Pemurah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Intipati : Amalan Orang Mukmin

• Khusyuk solat. • Menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan percakapan yang tidak berguna seperti dari perbuatan batil, syirik dan maksiat. • Memelihara kemaluannya daripada perkara haram seperti perzinaan dan homoseksual. • Menunaikan zakat. • Memelihara amanah dan janji. • Solat tepat pada waktu.


Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus - Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan UKM.

BH 01.02.2007 * 13 MUHARRAM 1428

Friday, August 13, 2010

10 Cara Meraikan Ramadan

(Sempena bulan Ramadhan yang dipenuhi keberkatan dan kemuliaan sahabat umi mengirimkan artikel Ramadhan...semoga dapat2 sama2 kita semua mengamalkannya.)

Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)
Ramadan yang dikenali sebagai syahrul barakah atau bulan berkat mempunyai pelbagai kelebihan. Muslim yang mukmin hendaklah mengambil peluang Ramadan kali ini bagi meningkatkan ketakwaan agar puasa kita mencapai tahap puasa khawasil khawas (orang khusus).

Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik.
Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).

2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail).
Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.
Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah.
Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan.
Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.

Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari.
Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.
Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.

7. Iktikaf.
Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Mencari-cari Lailatul Qadar.
Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan. Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar.
Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.
Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.

Oleh Mohamad Adib Mohamed Saat Sumber : Berita Harian 4 Ramadhan 1429

Tuesday, August 10, 2010

Hormati Orang Lain Derma Diri Sendiri

(Alhamdulillah...insyaAllah Rabu 11/8/10 kita semua akan menjalani ibadat puasa...bulan yang amat dirindui oleh umat Islam. Jadi umi mengambil kesempatan mengucapkan selamat Berpuasa, mudah-mudahan puasa kita tahun ini bukanlah yang terakhir untuk kita.. )

di sini umi postkan artikel yang dikirimkan oleh sahabat umi. semoga kita semua mendapat manfaat dan pengajaran daripadanya.

Daripada Abu Dzar katanya: “Aku berkata kepada Rasulullah SAW: Pekerjaan manakah yang paling utama?” Jawab Rasulullah SAW: “Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah.”

Aku bertanya lagi: “Membebaskan sahaya manakah yang paling utama?” Jawab Baginda: ”Yang paling dikasihi oleh tuannya dan termahal harganya.”

Aku bertanya pula: “Jika saya tidak melakukan itu semua?” Jawab Baginda: ”Membimbing pembuat sesuatu, sedangkan orang itu tidak berkeahlian.”

Berkata Abu Dzar: ”Ya Rasulullah SAW terangkanlah kepada saya bagaimana jika saya tidak kuasa melakukan sesuatu pekerjaan?

Jawab Baginda: ”Jangan membuat bencana terhadap orang lain, kerana hal itu sebagai dermamu kepada dirimu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Semua orang mempunyai hak untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Jika semua hak ini dihormati, dunia akan selamat dan seluruh penghuninya akan bahagia, sekalipun tingkat kebahagiaan berbeza-beza.
Bagi insan beriman dan beramal salih, mereka sentiasa mencari jalan mendekatkan diri mereka kepada Allah kerana dengan cara itu mereka akan tenang dan bahagia. Bahkan, pembalasan syurga adalah idaman setiap manusia yang benar-benar menyedari akan hakikat kehidupan di dunia ini.

Namun, tidak semua manusia berupaya melakukan pengorbanan apatah lagi jika ia memerlukan keikhlasan dari hati yang benar-benar suci dan murni tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Tetapi, itulah yang paling bernilai di sisi Allah. Oleh itu, demi mengatasi kesulitan dalam menyempurnakan tanggungjawab selaku seorang Muslim supaya kehidupan terus menjadi aman dan bahagia, kita janganlah melakukan pekerjaan yang boleh mengganggu kesejahteraan orang lain.

Perbanyakkanlah melakukan kebajikan kerana inilah yang sebenar-benarnya ajaran agama kita yang menyuruh supaya menghormati semua orang, tidak mengganggu setiap hak orang lain sama ada hak peribadi, bermasyarakat hinggalah sampai kepada hak bernegara.

Apabila semua ini dilaksanakan dengan sebaiknya bukan saja seseorang itu disenangi, malah imej agama akan bersih daripada sebarang fitnah yang mencacatkan.

Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
BH 27 JUL 2006 * KHAMIS